Warga Emas Terlantar Tanpa Kedua Tangan Dan Kaki Di HSB

Keadaan Ismail yang kehilangan kedua belah tangan dan kaki.
ALOR SETAR - Seorang warga emas yang kehilangan kedua-dua tangan dan kakinya kini terlantar di katil hospital akibat penyakit gangguan pembuluh darah yang dihidapinya sejak 20 tahun lalu.

Menurut anak saudaranya, Mohd Faris Mohd Hussain, 22, bapa saudaranya kerap dimasukkan ke Hospital Alor Setar, di sini apabila keadaan kesihatannya merosot akibat penyakit Buerger itu.

"Pada 1995, bapa saudara saya disahkan hidap penyakit itu dan keadaan makin serius bila doktor terpaksa potong kedua-dua belah tangannya tiga tahun kemudian.

"Kaki kanannya pula dipotong pada 1999 diikuti kaki kiri pada 2000 hingga memerlukan perhatian sepenuhnya daripada ibu saudara, Siti Fatimah Teh, 45," katanya.

Mohd Faris berkata, pergerakan bapa saudaranya terbatas dan perlu menggunakan lutut.

"Kini dia diuji sekali lagi apabila disahkan menghidap penyakit Hepatitis C sejak Oktober lalu.

"Buat masa ini, dia dimasukkan semula ke wad akibat penyakit itu sambil ditemani makcik," katanya.

Katanya, anak bapa saudaranya iaitu Siti Nur Izzati, 18, baru bekerja di Pulau Pinang dan Muhammad Izzat, 7, pula tinggal sementara dengan jiran," katanya.

"Saya bersyukur bila nasib bapa saudara dapat perhatian menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

"Tapi bantuan itu tak mampu tampung kos hidup kami sekeluarga memandangkan makcik hanya jual kuih secara sambilan dan gaji anak sulung di tempat kerja lama hanya sekitar RM600 sebulan," katanya.

Sebarang sumbangan mahupun bantuan terhadap Ismail boleh dilakukan melalui nombor 019-5724469 atau nombor akaun BSN atas nama isterinya, Siti Fatimah Teh 0250141000010388.

Sumber: Sinar Harian