Waspada Pada Gerakan Puak Anti-Hadis


ANTIHADIS adalah golongan yang tidak mempercayai hadis iaitu sama ada kata-kata, perbuatan dan perlakuan disandarkan kepada Rasulullah SAW sebagai sumber rujukan Islam selain al-Quran.

Hujah golongan fahaman ini adalah al-Quran diturunkan sebagai kitab yang lengkap dan sempurna tanpa memerlukan sumber lain sebagai rujukan Islam.

Bukan isu baharu, tetapi golongan antihadis telah wujud sejak dahulu lagi di seluruh dunia. Namun, golongan yang mengatakan hadis Rasulullah SAW sebagai dogeng itu mula tersebar meluas di Asia Tenggara termasuk negara ini.

Golongan ini mempertikai kebenaran hadis sehingga mereka menggesa agar ia dinilai semula. Apa yang menyedihkan, pandangan ini telah mendapat sambutan umat Islam termasuk dalam kalangan golongan bijak pandai di institusi pengajian tinggi, pensyarah, guru dan pegawai kerajaan.

Mereka turut mengajak umat Islam supaya tidak taat dan patuh kepada ajaran Rasulullah sama ada perkataan mahupun perbuatan baginda.

Fahaman ini dikesan aktif menyebarkan pengaruh dan fahaman mereka menerusi penulisan artikel serta penerbitan. Antara penyelewengan buku-buku yang dikeluarkan oleh kumpulan ini, mereka mendakwa bahawa hadis merupakan penyelewengan Nabi Muhammad terhadap Islam.

Hakikatnya, umat Islam perlu sedar bahawa semua tuduhan yang direka oleh kumpulan ini adalah menyeleweng di sisi Islam. Ini kerana, Allah turut memerintahkan umat Islam agar mentaati Nabi Muhammad SAW menerusi firman-Nya bermaksud:
“Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhamad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul membawa berita gembira (kepada orang beriman) dan memberi peringatan (kepada orang ingkar) tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (al-Imran: 31)
Antara tugas besar Rasulullah diutuskan adalah untuk membawa berita gembira dan mengajak umat manusia mentauhidkan Allah. Kelahiran baginda juga membawa rahmat bagi seluruh alam yang meliputi kehidupan umat manusia sebagaimana firman Allah bermaksud:
“Tidak aku utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan membawa rahmat pada seluruh alam.” (al-Anbia: 107)
Sehubungan itu, ayat ini jelas menunjukkan bahawa selain al-Quran, hadis juga merupakan sumber utama perundangan dalam syariat Islam, justeru umat Islam wajib berpegang kepada al-Quran dan hadis serta mengamalkan ajarannya.

Sesiapa yang tidak mempercayai serta menolak hadis boleh terkeluar daripada Islam iaitu murtad. Ingatlah bahawa golongan antihadis sangat berbahaya dan menyesatkan akidah umat Islam. Oleh itu jauhilah golongan ini dan bagi mereka yang terlibat segeralah bertaubat dengan taubat nasuha.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Darimi bermaksud:
“Berpeganglah dengan sunahku dan sunah khulafah ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepas ku dan gigitlah sunah itu dengan gigi gerham kamu,(berpegang teguh dengan sunnah).” - Riwayat Nasai

Sumber: Utusan