Yang Tak Sokong BN Pun Dapat BR1M, Dr. Jeniri Selar Dr. Mahathir


ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak wajar bercakap sesuka hati berdasarkan pandangan berbaur politik mengenai pemberian wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tanpa asas dan bukti yang kukuh.

Penganalisis Politik terkemuka negara, Dr Jeniri Amir berkata, tuduhan Dr Mahathir yang mengatakan kononnya BR1M adalah umpan atau rasuah untuk rakyat memberi undi pada Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar kerana mereka yang tidak menyokong BN juga gembira menerima bantuan kewangan itu pada setiap tahun.

Dr Jeniri Amir
“Saya tidak menafikan hak Tun Mahathir untuk memberikan hujahnya namun begitu beliau haruslah juga kemukakan bukti kukuh. Jika tiada bukti kukuh dan hanya berdasarkan pandangan semata-mata maka ia kenyataan yang tidak relevan.

“Datuk Seri Mohd Najib tidak salurkan bantuan ini untuk raih undi rakyat kerana ada sahaja yang mengambil wang bantuan itu tetapi tidak menyokong BN.

“Penggunaan ayat ‘rasuah’ itu sendiri merupakan satu tuduhan yang melampau dan tidak berasas serta untuk menyerang PM,” kata beliau memetik laporan Sinar Harian.

Dr Jeniri diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang memberitahu rakyat kononnya BR1M merupakan rasuah dan salah dari sudut perundangan negara.

Selain itu, Pengerusi PPBM itu turut menuduh kononnya BR1M merupakan "umpan" dari Mohd Najib bagi meraih undi rakyat untuk terus menyokong BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Penganalisis politik itu secara rasional menegaskan bahawa rakyat Malaysia, khususnya yang menerima BR1M merupakan golongan paling layak untuk menyatakan pandangan sama ada bantuan kewangan dari kerajaan itu relevan untuk diteruskan atau sebaliknya.

“PM sendiri kata bahawa wang BR1M ini adalah untuk membantu rakyat, jadi kalau nak tahu sama ada ia baik atau tidak, kenalah tanya rakyat, bukan tanya pemimpin. Satu kaji selidik harus dibuat untuk memastikan sama ada rakyat menyokong atau tidak bantuan seperti ini diberikan.

“Bagi mereka yang layak menerima bantuan ini rata-ratanya berpuas hati jadi tidak seharusnya perkara ini dijadikan isu,” katanya lagi mengulas isu yang sering dipolitikkan para pemimpin pembangkang itu.


Jelas beliau lagi, negara-negara maju telah lama mempraktikkan pemberian wang bagi meringankan beban rakyat di negara masing-masing dan tidak menjadi satu kesalahan bagi sesebuah kerajaan itu untuk membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Di negara-negara maju sendiri bantuan seperti ini sudah banyak diberikan cuma ia datang dalam bentuk yang berbeza-beza, jadi apa salahnya jika kerajaan bantu rakyat?

“Di Malaysia, cara ini pula yang digunakan oleh PM untuk meringankan beban rakyat,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Dr Jeniri berpandangan bahawa Dr Mahathir walaupun berhak memberi kritikan terhadap kerajaan BN, namun beliau perlu mengemukakan bukti yang konkrit bagi menyokong tuduhannya berbanding hanya mengeluarkan kenyataan berunsur politik tanpa sebarang asas yang kukuh. -Kedahnews.com