Zon Perdagangan Bebas Digital Bawa Banyak Manfaat – KKMM


KUALA LUMPUR – Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang akan dilaksanakan suku pertama tahun depan di lokasi terpilih di Lembah Klang bakal memberi beberapa manfaat termasuk insentif cukai dan prosedur pemeriksaan kastam yang lebih pantas.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam berkata pelaksanaan inisiatif itu akan menarik lebih banyak bakat berkemahiran tinggi selain menawarkan kemudahan mendapatkan bakat dari dalam serta dari luar negara khususnya melalui pas visa bagi individu berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang khusus.

“Inisiatif DFTZ ini masih dalam perancangan di mana pelaksanaannya akan melalui proses konsultasi dengan pihak berkaitan dan kelulusan dari pelbagai pihak bertanggungjawab,” kata kementerian itu.

DFTZ secara konsepnya merupakan mikrokosma atau lokasi fizikal setempat yang menawarkan persekitaran yang kondusif bagi syarikat-syarikat dalam sektor ekonomi Internet menjalankan kegiatan ekonomi berteraskan Internet dan digital termasuk aktiviti perdagangan, penyediaan perkhidmatan serta pembangunan dan penghasilan penyelesaian.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Jamilah Sulaiman mengenai faedah yang akan diperoleh daripada konsep DFTZ.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata Malaysia akan merangka pakej menarik dalam DFTZ bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai sektor e-Dagang di negara ini. – BERNAMA