10 Tahun Dera Isteri Sampai Mati, Tukang Masak Ke Tali Gantung


KUALA LUMPUR - Tukang masak yang mendera isterinya selama 10 tahun dengan membelasah dan memijak kepala hingga maut dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamaluddin Ali, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Jamaluddin didakwa membunuh Nurhidayah A Ghani, 29, di rumah di Lot 18, Kampung Petaling Bahagia, Batu 5 1/2, Jalan Puchong, Brickfields, antara 9 malam 15 Mei 2013 hingga 9 malam 17 Mei tahun sama.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Dua puluh empat saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Sumber: myMetro