100 Pengusaha Lori Kayu Getah Di Pokok Sena Bantah Sistem Cukai

Pengusaha lori getah membuat bantahan di Pejabat Jabatan Perhutanan di Pokok Sena
POKOK SENA - Kira-kira 100 pengusaha lori kayu getah di sekitar Pokok Sena dan Padang Terap membantah tindakan Jabatan Perhutanan Kedah mengenakan cukai kayu getah baru-baru ini.

Tindakan Jabatan Perhutanan Kedah itu dikatakan membebankan pengusaha lori dan pemilik tanah selepas dikenakan cukai yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.

Mohd Rizal Abd Ghani, 40, dari Padang Sanai berkata, sebelum ini pihaknya hanya berunding dengan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi mengeluarkan kayu getah di sesuatu kawasan.

"Bagaimanapun sejak 1 Januari lalu semua pengusaha lori getah diarahkan turut merujuk kepada Jabatan Perhutanan negeri bagi mengeluarkan kayu getah yang telah ditebang.

“Tindakan itu memberi masalah kepada pengusaha lori kerana perlu mendapat permit terlebih dahulu. Jika keluasan tanah itu luas mungkin berbaloi dengan usaha kami turun naik ke pejabat tetapi jika tanah keluasannya kecil pasti tidak berbaloi," katanya kelmarin.

Menurutnya, bagaimana pula jika tanah  tidak mempunyai geran.

"Pasti menimbulkan masalah kerana tanpa permit pengusaha lori tidak boleh mengeluarkan kayu getah dari kawasan berkenaan,” katanya yang berasal dari Padang Sanai Kuala Nerang.

Katanya, tindakan Jabatan Perhutanan mengenakan cukai kepada pengusaha lori kayu getah bukan sahaja membebankan mereka, malah turut mengambil masa yang lama untuk memproses permit bagi mengeluarkan kayu getah.

Tan Ai Chai, 57, dari Naka pula berkata, ramai pengusaha lori kayu getah kecewa dengan tindakan Jabatan Perhutanan itu mengenakan cukai kepada mereka.

“Sebelum ini pengusaha lori mampu membeli kayu getah sebanyak RM2,000 seluas 1.5 hektar tetapi dengan sistem cukai baru ini hanya mampu membelinya sebanyak RM1,000 sahaja kerana cukai yang dikenakan.

“Ini secara tidak langsung membebankan pemilik tanah. Saya yakin jika masalah ini tidak dapat diselesaikan sudah pasti akan berlakunya sindiket jual kayu getah,” katanya.

Menurut Ah Chai, tindakan Jabatan Perhutanan itu mengenakan cukai kepada pengusaha lori getah seperti juga dikenakan pada kayu balak.

"Oleh itu adalah tidak sewajarnya kayu getah dikenakan cukai kerana kayu itu bukanlah dari spesies balak.

“Dahulunya pihak pengusaha lori getah tidak perlu membayar sebarang cukai tetapi dengan sistem cukai ini pengusaha terpaksa membayar setiap lori enam tan dengan bayaran RM8. Manakala bagi lori empat tan pula bayaran kepada Jabatan Perhutanan ialah RM5,” katanya.

Keluhan itu turut mendapat simpati Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang turun mendengar rintihan pengusaha lori getah itu.

Katanya, pihaknya sudah pun bertemu dengan pegawai dari Jabatan Perhutanan daerah Pokok Sena tetapi tidak dapat diselesaikan kerana masalah itu perlu dirujuk kepada ibu pejabat Jabatan Perhutanan di Alor Setar.

“Saya sangat kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang mengenakan cukai kepada pengusaha lori getah itu kerana selama ini pihak berkenaan tidak perlu membayar sebarang cukai. Ini menunjukkan kerajaan sangat terdesak dengan mengenakan cukai kepada pengusaha lori getah.

“Saya bersama beberapa pemimpin akan mendesak Jabatan Perhutanan supaya menangguhkan penguatkuasaan itu buat sementara. Masalah ini akan dibincangkan pada minggu hadapan supaya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Sumber: Sinar Harian