2 Beradik Yatim Piatu Terpaksa Ikat Perut Tampung Belanja


JOHOR BAHRU – Bergelar yatim piatu sejak dua tahun lalu dan menyara hidup dengan wang pencen arwah bapa, tidak mematahkan semangat dua beradik untuk meneruskan kehidupan.

Norshazuahaniza Hanim Mohamad Esam, 19, dan Norshazreen Haniza Hanis Mohamad Esam, 16, juga memastikan wang pencen RM1,300 sebulan itu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Arwah ibu Khatijah Ibrahim meninggal dunia akibat kencing manis kronik pada 2011 semasa berusia 41 tahun manakala bapa, Mohamad Esam Haron, pesara tentera meninggal tiga tahun kemudian pada usia 47 tahun, juga akibat penyakit sama,” kata Norshazuahaniza Hanim kepada pemberita, di sini semalam.

Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 itu berkata selepas kematian ayah, dia dan adiknya ditempatkan di Rumah Anak Yatim Darul Hanan.

Bagaimanapun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia kembali tinggal di rumah peninggalan ibu bapa di Taman Scientex di sini sementara adik yang bersekolah di tingkatan empat di SMK Pasir Gudang 1 masih tinggal di Darul Hanan dan hanya pulang setiap dua minggu, katanya.

Menurut Norshazuahaniza Hanim dia menggunakan wang pencen arwah bapanya untuk menjelaskan bayaran bulanan rumah sebanyak RM650 selain bil utiliti dan duit saku adik.

Bagi menampung perbelanjaan, Norshazuahaniza Hanim berkata dia memanfaatkan cuti sekolah dengan bekerja.

Pada SPM lepas, gadis itu mencatat keputusan 5A manakala adiknya memperoleh 4A dalam Pentaksiran Tingkatan 3.

“Kalau ada peluang saya hendak sambung belajar, tetapi kalau tidak dapat pun saya harap saya dapat bekerja sebagai penjawat awam dan bantu adik saya yang mahu menjadi seorang cef,” katanya.

Terdahulu, dia menerima sumbangan peribadi berbentuk wang tunai dan keperluan asas daripada Anggota Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad.

Sementara itu, Normala berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan yang sesuai kepada kedua anak yatim berkenaan selain memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Selain itu, beliau juga menyampaikan sumbangan kepada seorang ibu tunggal Miskiah Satar, 49, di Nusa Damai yang kehilangan suami, Hamidi Mohd Nor, dalam satu kemalangan di Plentong Oktober tahun lalu.

Miskiah yang tinggal bersama lima anak berusia antara 10 dan 19 tahun bergantung hidup kepada bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Menurut Normala, pihaknya akan menghulurkan bantuan berupa kelas kemahiran selain meminta bantuan JKM bagi memastikan anak-anak Miskiah dapat meneruskan pembelajaran mereka.

Individu yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghubungi Miskiah menerusi talian 012-7134707. – BERNAMA