2 Minit 30 Saat Sebelum Kemusnahan Dunia - Atomic Scientist


PRESIDEN baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka mencetuskan kemusnahan dunia dengan melibatkan peperangan nuklear dan perubahan iklim.

Berdasarkan kajian Bulletin of Atomic Scientist yang meneliti perihal semasa dunia, Jam Kemusnahan menghampiri waktu 12 tengah malam, iaitu simbolik kepada kemusnahan dunia.

Jam tersebut merupakan pengukur terhadap perkembangan semasa dunia yang dikaitkan dengan kemusnahan di bumi melibatkan perbuatan manusia terutamanya membabitkan peperangan.

Setiap tahun, kumpulan saintis itu akan menetapkan waktu Jam Kemusnahan Dunia tersebut berdasarkan perisitwa yang berlaku pada tahun sebelumnya sama ada situasi semasa menjadi lebih baik atau sebaliknya.

Kini selepas pelantikan Trump, saintis menggerakkan jarum jam itu sebanyak 30 saat lebih cepat, sekali gus hanya tinggal dua minit 30 saat sebelum kemusnahan dunia berlaku.

Pengarah eksekutif kumpulan itu, Rachel Bronson berkata, pergerakan jarum jam lebih pantas berbanding biasa pada tahun ini.

"Hal demikian disebabkan maklumat tentang serangan besar-besaran, berita palsu semakin meningkat dan kenyataan yang digunakan Presiden (Trump) mempengaruhi perang nuklear serta perubahan iklim.

"Situasi politik di AS juga merupakan kebimbangan paling besar.

"Pentadbiran Trump perlu lebih jelas dan terbuka menerima kenyataan bahawa perubahan iklim disebabkan oleh manusia," katanya.


Tahun lalu, jam itu kekal pada waktu tiga minit sebelum tengah malam.

Projek Jam Kemusnahan Dunia itu dimulakan sejak 1947 selepas penggunaan bom atom buat kali pertama di dunia.

Sejak itu, jam tersebut bergerak mengikut perkembangan semasa tentang pembangunan senjata nuklear, perubahan iklim dan kemajuan teknologi.

Sumber: mStar