26 Hotspot TM WIFI Sedang Dipasang Di Stadium Darul Aman


ALOR SETAR - Para penyokong bola sepak di negeri Kedah bakal menikmati kemudahan internet lebih baik di Stadium Darul Aman selepas ini apabila sebanyak 26 TM WIFI Hotspot sedang dalam proses pemasangan.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam kenyataannya bagaimanapun menjelaskan bahawa kemudahan tersebut bukanlah merupakan kemudahan internet percuma, namun lebih kepada pelanggan TM yang memiliki akaun internet dari syarikat itu sahaja.

"Stadium Darul Aman akan dikuasakan oleh TM WIFI bermula musim 2017!

"Kerja-kerja menaik taraf kemudahan sedang dilakukan dengan pemasangan 26 TM WIFI Hotspot yang bakal memberi akses kepada penyokong ketika perlawanan berlangsung di Stadium Darul Aman.

"Kemudahan TM WIFI bukanlah WIFI PERCUMA, tetapi WIFI untuk kemudahan pelanggan TM yang mempunyai ID akaun internet dan juga dapat diakses oleh bukan pelanggan TM dengan pembelian kad akses dengan caj bayaran minima," kata KFA.


Kenyataan tersebut dimuat naik di laman Facebook rasmi KFA semalam dan menjelaskan bahawa ia merupakan antara usaha Perbadanan Stadium Negeri Kedah menaik taraf kemudahan di stadium keramat itu.

"Usaha menaik taraf kemudahan ini turut melibatkan visi Kerajaan Negeri Kedah dan Perbadanan Stadium Negeri Kedah dalam melestarikan generasi kini dengan akses internet.

 "Info lanjut TM WIFI boleh dilayari di: https://www.tm.com.my/tmwifi/Pages/index.html," kata kenyataan itu lagi. -Kedahnews.com