Acara Bunga Api Tidak Diputus Mesyuarat, Kata Exco Selangor


SHAH ALAM – Siasatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung insiden bunga api meletup ketika sambutan ambang tahun baharu di Klang, mendapati seorang ketua jabatannya bertanggungjawab menguruskan acara itu walaupun tidak diputuskan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat MPK.

Exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah berkata siasatan dalaman yang dijalankan Jawatankuasa Penyiasatan dianggotai empat pegawai MPK merangkumi aspek kelulusan program, perbelanjaan program dan proses semakan dokumen.

“Setelah meneliti hasil siasatan MPK, kerajaan negeri akan mengikut proses dan prosedur dalam mengambil tindakan ke atas pegawai bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Namun demikian, Yong berkata kerajaan negeri berpandangan bahawa pegawai tersebut perlu dihadapkan ke Lembaga Tatatertib MPK dengan dikenakan tindakan berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7), antaranya amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu itu, kerajaan negeri memandang serius kejadian menyebabkan kemalangan kepada orang awam akibat kecuaian penjawat awam.

“Kerajaan negeri amat berharap semua pelaksanaan program dan aktiviti di peringkat negeri, daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan orang awam dalam semua aspek,” katanya.

Dalam kejadian pukul 12.05 pagi di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang itu, seramai 14 individu termasuk empat kanak-kanak cedera selepas bunga api yang dipasang menuju ke arah penonton dan meletup.

Pertunjukan bunga api itu diadakan bersempena Fiesta Gegar Klang 2016 anjuran MPK yang berlangsung dari 30 Dis sehingga 1 Jan lepas di kompleks berkenaan. – BERNAMA