Ahli Tinggalkan PAS Tidak Yakin Janji Allah – TG Hashim Jasin


KUALA LUMPUR – Ahli-ahli PAS yang bertindak keluar parti bagi menyertai parti pembangkang lain terutama Parti Amanah Negara (PAN) adalah mereka yang tidak meyakini janji Allah S.W.T.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, golongan itu mahukan kemenangan yang segera dengan hanya menghitung `data-data’ tanpa memandang faktor pertolongan Allah S.W.T.

“Seumpama orang menghitung perbelanjaan berdasarkan gajinya, tetapi tidak menilai faktor keberkatan dalam hartanya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, Hashim menegaskan ada ahli PAS kehilangan punca kerana mempersoalkan bagaimana PAS boleh mencapai kemenangan tanpa pertolongan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan pengundi bukan Islam.

Katanya, golongan terbabit berasakan mustahil PAS boleh mencapai kemenangan dalam sebuah masyarakat politik yang majmuk tanpa sebarang pakatan politik dengan pihak lain.

Jelas beliau, situasi itu menunjukkan perbezaan keyakinan di antara pejuangan Islam yang beriman terhadap pertolongan Allah S.W.T dengan golongan yang meyakini sebaliknya.

“Perjuangan Nabi Muhammad S.A.W menegakkan Islam dengan segala ikhtiar akhirnya mendapat pertolongan Allah S.W.T setelah Nabi tidak lagi mengharapkan sebarang pertolongan kepada makhluk,” ujarnya. - Kedahnews.com