Ahmad Bashah ketika melancarkan buku "Merintis Muafakat Kedah" di sini, hari ini. |
ALOR SETAR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah akan meminda dasar melibatkan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah (LBNK) di mana pinjaman pembiayaan pendidikan akan diubah menjadi biasiswa penuh bermula tahun ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah berkata, pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dengan kepujian kelas pertama akan dikecualikan dari membayar pinjaman dan ia terbuka kepada seluruh anak Kedah tanpa mengira latar belakang kaum di IPT.
"Berhubung pembiayaan pendidikan, dasar melibatkan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah dipinda untuk membolehkan pelajar yang mendapat kepujian kelas kelas pertama dikecualikan dari membayar pinjaman sebaliknya diubah menjadi biasiswa penuh.
"Bertujuan membolehkan lebih ramai pelajar anak Kedah tanpa mengira kaum mendapat pembiayaan untuk melanjutkan pengajian tinggi.
"Di peringkat pejabat saya sendiri, insentif khas bersifat one-off disediakan sebagai menghargai pelajar cemerlang di peringkat Ijazah Pertama," katanya ketika berucap di depan kira-kira 1,000 kakitangan awam Kerajaan Negeri, Persekutuan, Agensi dan GLC negeri di sini.
Ahmad Bashah mengumumkan berita baik buat pelajar anak Kedah itu ketika menyampaikan Amanat Perutusan Menteri Besar Kedah 2017 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Kerajaan Negeri menerima banyak permohonan pembiayaan biasiswa dari anak Kedah sebelum ini, namun ia tidak dapat ditunaikan semuanya ekoran kedudukan dana yang terhad di dalam tabung LBNK.
Justeru itu, Ahmad Bashah menjelaskan bahawa dana bagi tabung biasiswa LBNK kini akan dibantu dari sumbangan syarikat-syarikat swasta, organisasi dan GLC bagi memastikan lebih ramai anak Kedah dapat menikmati keistimewaan tersebut.
"Biasiswa ini kita mahu supaya ia diperbanyakkan, diberi kepada lebih ramai anak Kedah. Tabung biasiswa LBNK kita tak banyak, tapi kita terima banyak permohonan untuk dapat pembiayaan.
"Jadi kerana itu, kali ini saya mahu gabungkan sumbangan dari kerjasama strategik kerajaan negeri dengan pihak GLC, pihak swasta dan organisasi. Mereka boleh menyumbang kepada dana LBNK ini.
"Lebih banyak dana di dalam tabung itu nanti, maka lebih ramai anak Kedah yang akan menerima pembiayaan biasiswa dari Kerajaan Negeri," katanya kepada Kedahnews.com dalam sidang media, sejurus selepas majlis berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Bashah turut mengumumkan tentang pembiayaan pinjaman pendidikan bagi pelajar Kedah di Timur Tengah melibatkan intitusi pengajian tinggi di Jordan dan Mesir.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan terus istiqamah mengekalkan dasar tersebut dengan menaikkan lagi elaun sara hidup bagi pelajar tajaan kerajaan negeri di sana, bersesuaian dengan kadar tukaran matawang asing bagi meringankan beban pengajian mereka.
"Komitmen kerajaan Negeri menerusi Yayasan Islam diteruskan dengan menaikkan elaun sara hidup kepada pelajar tajaan. Selaras dengan tukaran nilai matawang semasa bagi mengurangkan bebanan pelajar," katanya. - Kedahnews.com