AKPK Selesaikan 11,935 Kes Berjumlah RM488 Juta - Othman Aziz


KUALA LUMPUR – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya membantu 11,935 individu menyelesaikan sepenuhnya hutang mereka berjumlah RM488 juta melalui program pengurusan kredit (PPK) setakat 30 Nov, 2016.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Othman Aziz berkata sejumlah 505,069 individu telah menghadiri program khidmat kaunseling AKPK sejak 2006 sehingga November 2016, dan daripada jumlah itu, 167,060 individu menyertai PPK.

Beliau berkata sebanyak 70 peratus daripada penghutang yang menyertai program PPK berumur antara 30 dan 50 tahun yang tidak dapat membayar hutang kad kredit mereka.

“Perangkaan AKPK menunjukkan perancangan kewangan yang lemah merupakan masalah kewangan utama yang dihadapi oleh pelanggannya, menyumbang 49.3 peratus daripada kes yang diterima, diikuti kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (15.2 peratus), kos sara hidup yang tinggi 12.3 peratus), perbelanjaan perubatan yang tinggi (10.9 peratus),” katanya pada sidang akhbar selepas melawat AKPK di sini semalam.

Beliau berkata bantuan kewangan dan kesedaran yang disediakan agensi telah membantu mengurangkan kes muflis dalam negara.

AKPK yang ditubuhkan pada April 2006, merupakan anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia dan menyasar untuk menyediakan platform bagi individu dan bakal peminjam mendapatkan nasihat serta bantuan dalam mengurus kewangan dan hutang mereka.

Ia turut menyediakan perkhidmatan lain seperti program pengurusan kredit, kaunseling dan pendidikan kewangan secara percuma.

Pada masa ini terdapat 11 cawangan AKPK di seluruh negara. – BERNAMA