Aliff Syukri Menangis Sambil Minta Maaf Pada Abang Kopiah


JUTAWAN kosmetik terkenal, Datuk Aliff Syukri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia khususnya peniaga kopiah yang tersinggung dengan paparan yang disiarkan dalam program realiti Oh Abang Kosmetik (OAK) baru-baru ini.

Aliff Syukri membuat permohonan maaf itu menerusi laman Instagramnya sambil mengalirkan air mata.

“Assalamualaikum semua… saya ingin membuat permohonan maaf kepada mereka yang terlibat dalam rancangan Oh Abang Kosmetik di pasar tani terutamanya abang peniaga kopiah yang banyak terasa hati.

“Saya tidak sangka, perkara ini akan menjadi besar. Saya tahu saya salah dan saya janji tidak akan mengulangi kesilapan seperti ini.

“Yang baik itu datang daripada Allah, dan yang kekurangan itu datang dari diri saya sendiri,” katanya.


Pada masa yang sama, pengasas D’herbs ini turut mengucapkan terima kasih kerana menegurnya dan berharap netizen akan terus menyokong kerjaya serta program tersebut.

Sementara itu, Aliff menjelaskan dia lambat mengetahui isu itu telah menjadi tular kerana sibuk dengan penggambaran filem Badang.

Dalam episod ketiga program tersebut, Aliff menyamar sebagai pengemis orang tua yang mengenakan pakaian Islamik di sebuah pasar tani.

Antara yang didekati Aliff di pasar tani tersebut, adalah seorang peniaga kopiah.

Pun begitu, kenyataan Aliff Syukri yang mendakwa peniaga kopiah tersebut memberi layanan teruk dan menghalaunya ketika dia mengemis meminta kopiah baru telah menyinggung perasaan peniaga tersebut.

Peniaga tersebut, Shamsani menerusi akaun laman Facebook, Jebat Derhaka menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Aliff Syukri adalah satu penganiayaan yang telah mengaibkan dirinya.

Menurut Shamsani, apa yang diceritakan Aliff Syukri semasa insiden itu dalam rancangan OBK adalah tidak benar.

Jelasnya, dia tidak menghalau Aliff Shukri setelah menderma RM1, sebaliknya turut menghadiahkan sehelai kopiah percuma bagi menggantikan tiga yang mahu diambil jutawan itu.

“Kenapa Datuk tidak menceritakan hal yang betul-betul berlaku pada hari tersebut. Datuk kata hanya ambil satu kopiah sahaja tetapi tiga yang diambil.

“Sebagai peniaga salahkah saya mempertahankan barangan jualan saya dari dicuri orang,” katanya.

Berikutan insiden itu, ramai netizen bertindak menghentam Aliff Syukri hingga ada berpendapat jutawan ini sanggup memalukan individu lain semata-mata meraih populariti. – Kedahnews.com