Anak Dedah Derita Angkara Ayah Kandung, Ibu Tiri

Ketua Puteri Umno Bahagian, Nor Fadzlete Aryani Mohd Rosli (tiga, kanan) turut melawat Addin di kediamannya.
GUA MUSANG - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengalami kesan cedera hampir seluruh anggota badan ketika dihantar bapa ke pangkuan ibunya di Felda Chiku 1, di sini, kira-kira jam 11 pagi, 22 Disember lalu.

Menurut ibu mangsa, Musliharni Hussin, 33, semasa mengambil anaknya, Nik Addin Haikal Nik Abidin di simpang utama Felda Chiku 2, keadaan anaknya sangat lemah dan terdapat kesan lebam di mata kanannya.

"Saya bercerai dengan suami pada 15 Mei lalu dan penghujung Julai, dia datang menemui anak dan meminta izin untuk bawa Addin bersamanya ke ibu kota.

"Saya izinkan sebab Addin nak ikut dia. Setiap kali saya hubungi dan bercakap dengan Addin, tak ada yang mencurigakan sehinggalah saya desak dia hantar Addin balik sini untuk daftar sekolah.

"Dia beritahu kesan lebam di mata Addin sebab terjatuh dalam bilik air, tapi bila saya mandikan Addin, baru saya lihat banyak kecederaan lain di badannya," katanya.

Katanya, hasil laporan pemeriksaan dan imbasan x-ray, anaknya itu bukan sahaja mengalami kecederaan luaran seperti kesan luka di kepala, gigitan di tangan, kesan puntung rokok, lebam di seluruh badan, bahkan tulang belakangnya juga bengkok.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, anak keduanya itu juga tidak dapat berjalan hampir seminggu kerana terlalu lemah dan ketakutan sekiranya melihat orang datang melawat.

"Bila saya tanya, dia kata ‘papa dan mama yang buat’. Malah, dia sangat fobia lihat pinggan. Saya tak dapat bayangkan apa yang terjadi kepada anak saya sepanjang lima bulan bersama bapanya.

"Saya dah buat laporan polis Khamis lalu, hari sama Addin dihantar pulang kerana bapanya tak beri penjelasan munasabah. Malah dia suruh saya tarik balik laporan polis itu," katanya.

Menek mangsa, Siti Rahnor Ramli, 50, memberitahu, sepanjang cucunya tinggal bersama bekas menantu, dua kali dia bermimpi Addin mengalami luka di bahagian belakang dan terdapat banyak jahitan.

"Paling saya terkilan bila suami saya (Hussin Yaakob, 60) meninggal dunia September lalu, namun Addin tak dibawa pulang untuk lihat jenazah datuknya buat kali terakhir.

"Dua tiga hari lalu, Addin ada tanya mengenai datuknya, bila saya jelaskan, dia hanya diam. Sehingga kini tidurnya sering terganggu dan tersentak," katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, sehingga kini, pihaknya masih dalam usaha menjejaki bapa mangsa bagi mendapatkan keterangan berhubung kes terbabit.

Sumber: Sinar Harian