KUALA LUMPUR – Mohd Faiz Subri dari Malaysia merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, justeru meletakkan namanya sebaris dengan pemenang terdahulu seperti bintang tersohor, Cristiano Ronaldo dan Neymar.
Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia).
Kejayaan meraih anugerah tersebut menggembirakan jutaan rakyat Malaysia, yang jauh beribu kilometer daripada suasana musim sejuk di bandar tasik Swiss itu.
Mohd Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.
“Secara jujur, ia tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya akan mencapai ke tahap ini dan berada sebaris dalam kalangan pemain bola sepak bertaraf dunia di tempat yang hebat ini,” katanya selepas menerima anugerah tersebut daripada bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.
Pemain Liga Super itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.
Mohd Faiz, yang meraih 59.46 peratus undi, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukannya, keluarga dan peminat yang menyokongnya.
“Saya juga terhutang budi kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership), yang mencalonkan jaringan saya kepada FIFA untuk dinilai,” katanya.
Pemain dari Malaysia itu mengetepikan Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang meraih 22.86 peratus undi dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez dengan 10.01 peratus undi.
Ronaldo turut memenangi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2016.
Mohd Faiz merupakan ‘arkitek’ dan jaringannya disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Feb tahun lepas.
Jaringan luar biasa beliau itu, antara yang dianggap paling menarik sepanjang tahun lepas, telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Sepakan percuma itu agak mengelirukan dengan bola pada mulanya melencong ke arah penjuru kanan gawang Pahang sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah menyebabkan penjaga gol, Nasril Nourdin tergamam.
Dalam pada itu, Mohd Faiz menganggap kemenangannya itu seperti mimpi menjadi kenyataan selain berasa sangat bertuah dapat bersama dengan pemain terkemuka dunia di Zurich.
Biarpun belum berpeluang menyarung jersi kebangsaan, beliau tetap berbangga dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Syukur saya menang, terima kasih kepada pengundi di Malaysia dan seluruh dunia yang memilih saya. Tidak lupa juga keluarga, jurulatih dan pasukan Pulau Pinang.
“Tanpa sokongan mereka, kejayaan ini mungkin mustahil kerana saingan calon lain yang ternyata hebat,” kata Mohd Faiz kepada Bernama.
Beliau turut melihat hakikat menjadi pemain Asia pertama menggondol Anugerah Puskas sebagai pencapaian terbaik dalam karier bola sepaknya.
Beliau menegaskan jaringan gol yang dilakukannya itu bukan sekadar nasib tetapi hasil latihan yang dilakukan hampir setiap hari.
Mohd Faiz seterusnya berkata kejayaan itu merupakan pembakar semangat sempena tahun baharu untuk terus memperbaiki prestasi dan mencapai kecemerlangan pada masa depan.
Sementara itu, isteri Mohd Faiz, Norzanis Hashim yang berada di Zurich memberitahu Bernama: “Walaupun saya tidak berada di dewan malam ini, namun sokongan dan doa sentiasa bersama Faiz.
“Sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang, saya sangat bersyukur doa seluruh warga Malaysia buat suami saya termakbul,” katanya.
Selepas pemain tersohor Portugal, Ronaldo menerima pengiktirafan tersebut, Anugerah Puskas dimenangi pemain Turki, Hamit Altintop (2010), pemain Brazil, Neymar (2011), Miroslav Stoch dari Slovakia (2012), Zlatan Ibrahimovic dari Sweden (2013) dan pemain Colombia, James Rodriguez pada 2014.
Pemain kurang ternama dari Brazil, Wendell Lira, menggondol anugerah berkenaan pada 2015.
Tiga finalis – Mohd Faiz, Marlone dan Rodriguez – disenarai pendek daripada keseluruhan 10 jaringan tercantik bagi musim 2016. – BERNAMA