Anugerah #Puskas: Anak Kedah Julang Nama Negara


KUALA LUMPUR – Berita kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 awal pagi ini telah membawa kebanggaan kepada rakyat Malaysia.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa orang awam turut menonton siaran langsung anugerah tersebut di beberapa lokasi di sekitar ibu kota.

Bagi pegawai perhubungan awam, Azlan Naif, 28, pencapaian Mohd Faiz itu telah meletakkan bendera Malaysia di peta bola sepak dunia.

“Ini merupakan satu kejayaan buat Malaysia dan saya bangga dengan kemenangan Faiz yang telah mengharumkan nama negara,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Khairul Bashar Mohd Idris, 31, yang bekerja sendiri, mengakui sepakan ajaib Mohd Faiz itu sememangnya layak memenangi anugerah berprestij tersebut.

“Memang susah gol yang dibuat beliau, memang patut beliau dapat anugerah itu, memang dia layak pun” katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Mohd Shaifulnizam Kornia, 31, mengakui terharu melihat anak Malaysia berkongsi pentas dengan pemain bola sepak ternama dunia dan seterusnya menjulang anugerah berprestij itu di Zurich, Switzerland.

Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma beliau pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia).

Jaringan menarik Mohd Faiz itu menerima undian sebanyak 59.46 peratus mengalahkan dua lagi calon – Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, 10.01 peratus. – BERNAMA