KEDUA waris Puteri Diana, Putera William dan Putera Harry telah memutuskan untuk mendirikan satu arca bagi mengingati mendiang ibu mereka yang meninggal dunia 20 tahun lalu.
Arca itu akan dibina di kediaman rasmi mereka di Istana Kensington, London.
Puteri Diana meninggal dunia pada 31 Ogos 1997 dalam satu kemalangan jalan raya di sebuah terowong di Paris bersama teman lelakinya, Dodi Al-Fayed.
Ketika itu, William dan Harry baharu sahaja berusia 15 dan 12 tahun.
“Sudah 20 tahun sejak kehilangan ibu kami dan sudah sampai masanya untuk kita semua menghargai kesemua kerja kebajikan yang telah dilakukannya dengan mendirikan sebuah arca bagi mengenang mendiang,” kata Putera William dalam satu kenyataan rasminya.
Kedua putera itu telah melantik beberapa ahli jawatankuasa bagi meraih dana untuk tujuan itu selain akan bertemu dengan pakar arca bagi membentuk patung ibunda mereka seperti mana yang diinginkan.
Arca itu kelak akan diletakkan di taman awam di Istana Kensington dan ia dijangka bakal disiapkan selewat-lewatnya hujung tahun ini. – Kedahnews.com