Armada PPBM Hasut Anak Muda Benci Kerajaan - Shaiful Hazizy


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mempunyai modal lain untuk ditawarkan kepada golongan anak muda selain dari membina sentimen politik kebencian di dalam diri golongan muda di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, para pemimpin politik PPBM khususnya sayap Armada hampir setiap hari menghasut anak muda dengan budaya dan pemikiran negatif bagi mencetus rasa benci kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"PPBM ini dia mengajak penyertaan daripada anak muda berdasarkan kepada politik kebencian yang ditanamkan.

"Dia tidak ada modal lain," katanya kepada Kedahnews.com dalam satu kenyataan di sini, pagi ini.

Katanya, sebilangan golongan muda sememangnya berdarah panas serta suka memberontak menyebabkan beliau tidak hairan sekiranya segelintir dari mereka terpengaruh dengan hasutan-hasutan pemimpin PPBM untuk membenci parti kerajaan, khususnya UMNO.

Ia adalah bertentangan dengan pendekatan Pemuda UMNO yang lebih bersifat positif menawarkan khidmat dan selalu berfikir tentang masa depan kepada anak muda, serta tidak hanya bertumpu kepada politik 24 jam.

"Kita bukan hanya bercakap kosong dan kita sudah buktikan. Contohnya kita menawarkan kerja-kerja khidmat bakti, kita menyelesaikan masalah orang muda, kita tidak berpolitik sepanjang masa.

"Armada PPBM ini dia tak bincang soal kerjaya, dia tak bincang soal gaji anak muda, dia tak bincang tentang macam mana hendak menggalakkan inovasi dan kreativiti anak muda.

"Dia (pemimpin PPBM) naik atas pentas pembangkang, dia hanya akan hasut, hasut, hasut, hasut orang untuk membenci kerajaan, dia tidak ada pendekatan yang bersifat konstruktif yang melibatkan anak muda," ujar beliau.

Sayap Armada PPBM sebelum ini mendakwa mendapat sambutan dari anak muda dengan menguasai 40 peratus dari jumlah keseluruhan ahli parti baru itu.

Walau bagaimanapun, PPBM sehingga kini masih enggan mengumumkan jumlah keseluruhan ahli parti dengan alasan mahu "menapis" terlebih dahulu penyertaan yang benar-benar mahu menyertai PPBM secara inklusif. -Kedahnews.com