Bahri Nafi Keluar Kenyataan Kecewa Kes SRC Dilapor Portal - SPRM


ALOR SETAR - Bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Dato' Bahri Mohammad Zin menafikan ada mengeluarkan kenyataan kononnya beliau bersara awal disebabkan kecewa kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam ini menjelaskan bahawa Bahri membuat penafian tersebut ketika dihubungi agensi bebas berkenaan berhubung dakwaan di beberapa portal hari ini.

"Berhubung kenyataan di sebuah portal media hari ini bahawa Dato’ Bahri memilih bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah, SPRM telah menghubungi beliau dan Dato’ Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal tersebut," kata kenyataan itu yang diterima Kedahnews.com, malam ini.

Mengulas mengenai persaraan pegawai kanan itu, SPRM menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima permohonan Bahri sendiri kira-kira enam bulan lepas dan selari dengan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin mengesahkan bahawa Dato’ Bahri Mohammad Zin telah memohon kepada kerajaan untuk persaraan pilihan atas kehendaknya sendiri enam bulan yang lalu.

"Permohonan yang dibuat itu selari dengan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mana seseorang pegawai kerajaan yang ingin bersara awal perlu membuat permohonan sekurang-kurang enam bulan sebelum tarikh persaraan," kata kenyataan rasmi berkenaan.

Sebuah portal hari ini melaporkan kononnya Bahri mendakwa beliau bersara awal kerana ata kekecewaan beliau berhubung kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Berikut dibawah adalah kenyataan rasmi dari agensi bebas tersebut; -Kedahnews.com
SIARAN MEDIA MENGENAI PERSARAAN DATO’ BAHRI

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin mengesahkan bahawa Dato’ Bahri Mohammad Zin telah memohon kepada kerajaan untuk persaraan pilihan atas kehendaknya sendiri enam bulan yang lalu.

Permohonan yang dibuat itu selari dengan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mana seseorang pegawai kerajaan yang ingin bersara awal perlu membuat permohonan sekurang-kurang enam bulan sebelum tarikh persaraan.

Berhubung kenyataan di sebuah portal media hari ini bahawa Dato’ Bahri memilih bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah, SPRM telah menghubungi beliau dan Dato’ Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal tersebut.

Beliau yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Operasi Khas sejak 16 Jun 2014 telah bersara berkuat kuasa 30 Disember 2016.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 JANUARI 2017