Banjir: TNB Terpaksa Henti Bekalan Elektrik 50 Pencawang


KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menghentikan sementara bekalan elektrik kepada 50 buah pencawang elektrik (PE) di kawasan dilanda banjir di Pahang dan Johor setakat pukul 12 tengah hari semalam.

Pengurus Besar Kanan (Distribution Network) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, jumlah itu termasuk 44 di Pahang dan enam lagi di beberapa kawasan di Johor.

“Langkah itu perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian litar pintas. Bekalan elektrik akan segera disambung semula sebaik ia selamat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Wan Nazmy berkata, penghentian sementara operasi pencawang-pencawang elektrik berkenaan membabitkan 3,307 pengguna berdaftar di Pahang dan 328 lagi di Johor.

Bagaimanapun, kata beliau, operasi 18 buah PE dan tiga buah PE di Pahang dan Johor telah pulih dan beroperasi seperti biasa.

“Bilik gerakan banjir TNB di kedua-dua negeri terbabit juga telah dibuka bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik.

“Orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik,” kata Wan Nazmy lagi. –Kedahnews.com