Barakacity Humanitarian Ziarah Kubur Rohingya Di Tualang

Ahmad Tarmizi (kanan) bersama ahli Barakacity Humanitarian membaca doa semasa menziarahi tanah perkuburan pelarian Rohingya di Mukim Tualang
POKOK SENA - Seramai 10 ahli Barakacity Humanitarian dari Perancis melawat tanah perkuburan pelarian Rohingya di Mukim Tualang, kelmarin.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pihak berkenaan yang dalam lawatan melihat beberapa sekolah pelarian Rohingya di Kedah, turut berminat melawat tanah perkuburan tersebut.

Katanya, NGO berkenaan mahu melihat sendiri tanah perkuburan yang diwakafkan Majlis Agama Islam Kedah bagi membantu mangsa pemerdagangan itu selepas mati di Perlis dan dikebumikan di situ pada tahun lalu.

“Mereka sangat bersyukur dengan keprihatinan Maik mewakafkan tanah untuk jenazah Rohingya itu, apatah lagi diselenggarakan dengan baik semasa majlis pengebumian. Semasa lawatan, kami turut mengadakan tahlil,” katanya.

Menurut Ahmad Tarmizi, lawatan Barakacity Humannitarian itu bagi mengadakan beberapa projek kemanusiaan seperti pengagihan makanan, ubat dan pembinaan rumah di Myanmar.

Pihak berkenaan turut memantau beberapa sekolah pelajar Rohingya di Kedah, selain bercadang untuk membina dua sekolah di Pendang dan Yan.

“Sebelum ini terdapat empat sekolah untuk anak pelarian Rohingya di Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi. Pembinaan sekolah itu diharap dapat memberi pendidikan agama dan akademik kepada anak-anak pelarian,” katanya.

Turut hadir, Ketua Projek Kemanusiaan Barakacity Humanitarian Kawasan Asia, Abdoul Aziz Shamsudin dan Pengerusi Mapim Kedah, Ismail Ali.

Sumber: Sinar Harian