Bayaran Berbaloi Punca Che Ta Dedah Kisah Peribadi Di TV


KUALA LUMPUR -  Pelakon Rozita Che Wan berkata, keputusan dia untuk mendedahkan kehidupan sehariannya bersama keluarga di televisyen adalah kerana bayaran diberikan setimpal.

Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, 44, berkata, dia tidak peduli apa pun pandangan orang kerana setidak-tidaknya pendedahan dia dalam rancangan The House itu adalah lebih baik berbanding berkongsi kisah berkenaan di laman sosial secara percuma.

"Sebenarnya sudah dua kali saya tolak (menjayakan The House) atas sebab-sebab tertentu terutamanya jadual yang tidak mengizinkan. Kali ini saya terima kerana syarat-syarat dan sudah tentu sebab bayaran.

"Saya tidak kisah orang nak cakap saya jual kisah peribadi kerana sekurang-kurangnya apa yang saya dedahkan di televisyen mendapat bayaran setimpal daripada mendedahkannya di laman sosial secara percuma," ujarnya.


Rozita ditemui pada sidang media program The House yang diadakan di Dudda, Suria KLCC di sini, pada Rabu.

Rancangan yang memasuki musim ketiga ini akan disiarkan di Astro Ria, setiap Rabu, pukul 9.30 malam bermula 25 Januari ini.

Menerusi program ini, Rozita berkata, cabaran utama adalah menguruskan kehidupan tanpa bantuan pembantu peribadi.


Selain itu pelbagai cabaran diberikan oleh pihak produksi yang menguji kemampuan dia dan anak-anaknya.

"Kami diletakkan di sebuah rumah selama kira-kira lapan hari dan diberi pelbagai tugasan. Ia juga mencabar bagi saya kerana tiada pembantu peribadi dan jurusolek.

"Penonton juga dapat melihat wajah saya tanpa solekan tebal seperti selalunya," ujar Rozita.


Selain Che ta dan suaminya Zain Saidin, turut terlibat dalam rancangan itu ialah anak-anaknya iaitu Ammar Effendy, 21, Aniq Ezzra, 19, dan Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia dua tahun.

Sumber: mStar