Bekalan Minyak Masak Di Kedah Mencukupi – Dr Ku Rahman


SUNGAI PETANI – Kerajaan Kedah memberi jaminan bekalan minyak masak bersubsidi mencukupi untuk kegunaan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, IMT-GT, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail berkata ini susulan tambahan kuota bekalan yang diterima Kedah sejak awal bulan ini.

“Kedah terima tambahan kuota 400 tan menjadikan bekalan keseluruhan minyak masak bersubsidi 2,500 tan sebulan berbanding 2,100 tan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 peringkat negeri, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah Mohamad Fitri Hassan dan Ketua Pegawai KPDNKK Kedah Shahrudin Hamzah.

Dalam pada itu, sebanyak 13 jenis barangan harga terkawal dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 yang bermula Isnin lalu hingga 3 Feb ini.

Antara barangan keperluan yang disenaraikan ialah ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A dan B, kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih besar, udang putih besar, khinzir hidup, perut daging khinzir serta perut dan lemak daging khinzir. – BERNAMA