Bekas CEO Tekun Didakwa 2 Pertuduhan Libat Rasuah


SHAH ALAM - Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Tekun Nasional Datuk Abdul Rahim mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 2 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM36,000.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas 2 kesalahan itu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta RM36,000 menerusi SMS sebagai dorongan mempercepatkan tuntutan bayaran kutipan hutang lapuk daripada Pasadena Sdn Bhd yang berjumlah RM360,000.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengambil wang RM36,000 itu di Kelab Shah Alam Selangor di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada antara 13 dan 15 Januari 2015.

Jika sabit kesalahan, Rahim boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda.

Hakim Asmadi Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Februari dan tarikh bicara pada 13 hingga 17 Mac.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Adhha Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam Hasnal Rezua Merican.

Terdahulu, pada 27 November 2015, Rahim mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas 2 pertuduhan mengambil rasuah RM200,000 untuk meluluskan 2 permohonan pinjaman daripada syarikat menantu dan anak saudaranya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM bagi kesalahan itu.

Bagaimanapun, Hasnal berkata pertuduhan itu ditarik balik tahun lalu sebelum berakhir kes pendakwaan.

Sumber: FMT