Berbuat Baiklah Kepada Makhluk Meskipun Seekor Anjing


“Ustaz! Patut pun saya lihat Browny tak salak ustaz! Rupanya ustaz beri dia makan!”

Jiran India saya, Venie menyatakan rasa hairannya berikutan anjing peliharaannya bersikap baik pada saya sekeluarga. Kisahnya, anjing bernama Browny itu dibeli oleh Gunalan (suami Venie) sebagai hadiah hari jadi anaknya, Jishnu.

Anjing mereka bertambat kemas dan dijaga rapi dalam pagar rumah mereka. Ketika mula sampai, anak anjing ini agak agresif menyalak semua yang asing termasuk kami sekeluarga.

Lalu pada suatu hari saya menghulurkan beberapa keping keropok lekor padanya melalui pagar rumah. Selepas itu, Browny seakan mengiktiraf status jiran antara kami. Saya juga selalu ingat kepada Browny apabila membeli keropok lekor dari gerai depan surau kami.

SEMUANYA ADA MANFAAT

Apa kata al-Quran dan hadis tentang isu anjing? Mudahnya, Allah tidak mencipta sesuatu tanpa sebab musabab. Semuanya ada manfaat untuk manusia sebagai khalifah di bumi.

Firman Allah SWT:
“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main (tanpa tujuan),” (al-Anbiya’ [21:16]).
1. Dalam kisah tujuh pemuda yang tidur dalam gua selama tiga kurun, Allah menyebut fungsi anjing penjaga mereka yang setia berjaga di pintu gua:
“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua,” (al-Kahf[18:18]).
Si anjing yang setia menjaga tuannya turut dijaga Allah dalam kisah tidur yang ajaib ini. Tuah tujuh pemuda soleh ini turut ditempiaskan Allah kepada si anjing (Tafsir Ibn Kathir). 

Subhanallah! Jika si anjing pun tahu berkhidmat kepada orang soleh, kita sebagai manusia lebih utama mencintai orang soleh yang berada di sekeliling kita.

2. Al-Quran juga mengiktiraf kegunaan anjing sebagai binatang buruan asal sahaja ia dilatih secukupnya:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat dan baik serta (buruan yang ditangkap oleh) binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar dan melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertakwalah kepada Allah (dengan memelihara diri daripada memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisab-Nya,” (al-Ma’idah[5:4]).
3. Seorang wanita pelacur diampunkan Allah kerana berbuat baik kepada anjing:
“(Pada suatu hari) seekor anjing terjelir lidahnya kerana kehausan yang hampir membunuhnya. (Kelakuan si anjing diperhatikan) seorang pelacur Bani Israil. Pelacur itu pun menanggalkan kasutnya lalu mencedok air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu,” - Sahih Bukhari.
Ringkasnya hadis ini menunjukkan keluasan rahmat Allah yang tiada batas. Pelacur wanita dan si anjing kelihatan hina pada sesetengah manusia, namun mereka tetap hamba Allah yang layak mendapat kasihan belas.

Alhamdulillah! Kami sekeluarga mempunyai hubungan baik dengan jiran India kami ini. Saya cuba meluaskan skop berbuat baik kepada jiran dengan menjadikan anjing peliharaan mereka sebagai jiran saya yang berhak mendapat belas kasihan dan penghormatan seorang Muslim. Semoga sikap ini menjadikan Islam semakin indah pada mata jiran saya ini.

RUPANYA sikap terbuka dengan anjingnya menjadikan hubungan kejiranan antara saya dan keluarga India sebelah rumah semakin baik. Sungguh! Anjing adalah teknologi Allah yang sangat unik. Kehadirannya menjadikan rumah kami lebih selamat.

Mudahnya, Allah tidak mencipta sesuatu tanpa sebab musabab. Semuanya ada manfaat untuk manusia sebagai khalifah di bumi.

Firman Allah SWT:
“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main (tanpa tujuan),” (al-Anbiya’ [21:16]).

Sumber: Utusan