BN Akan Jadikan Jambatan Sg Bemban Modal Raih Undi - PAN Kedah

Johari (kiri) bersama jentera PAN dan penduduk menunjukkan jambatan runtuh berkenaan
KUALA KETIL - Kelewatan membaiki jambatan di Kampung Sungai Bemban yang runtuh sejak tiga bulan lalu membuktikan ada yang tidak kena dalam kerajaan negeri dan peringkat pusat.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Johari Abdullah berkata, ketirisan yang berlaku turut menyebabkan kebajikan dan keselamatan rakyat terabai.

Menurutnya, jambatan tidak dibina berikutan masalah peruntukan.

“Menjadi masalah kepada penduduk apabila terpaksa berkongsi laluan lori kuari pasir setiap hari.

"Lebih berbahaya bagi ibu bapa yang membawa anak pulang dari sekolah dan menggunakan laluan tersebut,” katanya di sini, semalam.

Johari berkata, jambatan itu berkemungkinan besar akan dijadikan modal untuk mengumpan pengundi menjelang pilihan raya akan datang.

“Jika Universiti Teknologi Mara (UiTM), Masjid Daerah Baling serta hospital pakar yang dijanjikan pilihan raya dahulu pun tidak dibina apatah lagi projek kecil seperti ini. Jambatan ini juga akan digunakan sebagai janji untuk raih undi dan modal PRU14.

“Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang kononnya dinaiktarafkan sebagai universiti penuh 2017 juga menjadi mangsa politik hingga menghampakan penuntut. Mahasiswa boleh tunggu janji seterusnya selepas ini,” katanya.

Terdahulu, PAN Kedah dan PAN Kawasan Baling meninjau kawasan berkenaan.

Beliau berkata, PAN Kedah mendesak kerajaan negeri mempercepatkan projek pembinaan jambatan berkenaan dalam kadar segera.

“Jangan tunggu hingga timbul implikasi besar kepada penduduk, laluan lori yang mereka gunakan itu turut terdedah dengan hakisan sungai.

“Jambatan itu sudah runtuh tiga bulan lalu, sepatutnya ia dibina dalam kadar segera,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua PAN Baling, Zakaria Abdul Wahab berkata, penduduk Kuala Ketil kecewa apabila wakil rakyat mereka lewat bertindak.

“Wakil rakyat tidak merasai masalah penduduk apabila rumah didiaminya di luar kawasan Kuala Ketil yang jaraknya kira-kira 20 kilometer,” katanya.

Sumber: Sinar Harian