"Consistantly Inconsistent": DAP Jadi Tunjang, Penentu Hala Tuju Pembangkang


BALING - Meskipun jika Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meletakkan pemimpin PKR, PAN mahupun PPBM menjadi ketua, hakikatnya DAP merupakan parti yang membentuk dasar dan hala tuju di dalam gabungan parti pembangkang itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, penelitian beliau menunjukkan DAP merupakan parti paling dominan dan menjadi tunjang di dalam gabungan pembangkang itu sebagaimana UMNO yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN).

"Siapa dapat bilangan kerusi yang lebih, walaupun pemimpin yang diletak ke depan itu bukan dari partinya, tapi siapa dapat kerusi lebih di peringkat parlimen dialah yang akan menentukan hala tuju parti tersebut.

"Saya melihat bahawa sebelah sana macam mana pun, parti DAP akan menguasai barisan satu lagi (Pakatan Harapan).

"Tak mungkin PKR, tak mungkin PAN, tak mungkin 'Bunga' (PPBM). DAP akan menjadi parti yang menunjangi barisan alternatif kepada Barisan Nasional," katanya di hadapan kira-kira 23,000 rakyat Baling yang membanjiri Padang Awam Kuala Ketil, di sini hari ini.

Namun begitu, Mohd Najib menyeru supaya rakyat menolak gabungan pembangkang tersebut ekoran keadaan huru-hara di dalam pakatan berkenaan yang sering bercanggah pandangan sesama sendiri dalam pelbagai sudut.

Tegas Perdana Menteri, percanggahan di kalangan parti pembangkang itu mencerminkan sifat "consistantly inconsistent" di dalam gabungan DAP, PAN, PPBM dan PKR, menyebabkan rakyat tidak yakin pada pihak pembangkang.

"Di sebelah sana itu kita lihat keadaannya yang caca merba, yang bercanggah cakapnya.

"Saya tengok dalam soal BR1M pun Wan Azizah kata kami sokong BR1M, Azmin Ali kata kami tak sokong BR1M, Dr Mahathir kata BR1M itu rasuah, tiga minggu kemudian kata pula kami akan laksana BR1M kalau kami dapat kuasa.

"Dimana letaknya prinsip istiqamah? Mereka ini 'consistantly inconsistent'. Maknanya tak konsisten sokmo orang Pahang kata," kata Mohd Najib.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN itu juga menyentuh pendirian Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dilihat tidak konsisten dan berubah 360 darjah selepas bergelar pembangkang, mengkhianati perjuangan parti yang mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Dulu dia kata kami tolak demonstrasi jalanan, bukan budaya kami di Malaysia. Hari ini siapa turun pakai baju kuning? Siapa?

"Dulu kata parti DAP, pemimpin DAP (Lim) Kit Siang itu rasis orangnya, anti Islam, anti Melayu. Siapa hari ini sokong Kit Siang?

"Kalau dulu kata jangan orang asing campur tangan dalam politik di Malaysia, (George) Soros itu penyangak matawang, hari ini siapa jabat tangan dengan Soros? Dan mengundang orang luar untuk campur tangan dalam politik kita?," kata beliau mempersoal Pengerusi PPBM itu.

Justeru itu, Mohd Najib mengajak rakyat untuk berfikir sejenak dan membayangkan tentang perkara-perkara yang bakal berlaku sekiranya DAP

"Cuba kita pejam mata sejenak, cuba kita bayangkan kalau bumi ini dikuasai parti yang ditunjangi oleh DAP," ucap beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di depan kira-kira 23,000 rakyat Baling yang membanjiri Padang Awam Kuala Ketil di sini, hari ini. 

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, kepimpinan UMNO Negeri, Bahagian dan akar umbi di negeri Jelapang Padi itu.

Mohd Najib hari ini mengakhiri lawatan kerja sehari di negeri Kedah sempat bersarapan di Medan Selera Alor Merah dan meraikan Komuniti PR1MA pertama negeri itu di Sungai Petani sebelum bertemu rakyat Baling di Kuala Ketil di sini hari ini. -Kedahnews.com