Corak Permainan Bagus, Permulaan Yang Baik Buat Kedah - TCH


PETALING JAYA - Pengendali skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan persembahan anak buahnya untuk mengikat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zum dengan keputusan 1-1 dalam aksi pembukaan Liga Malaysia  (Liga-M) 2017 pada Jumaat.

Walaupun berjaya merangkul gelaran juara Piala Sumbangsih sebagai trofi pertama buat Kedah menerusi kemenangan sepakan penalti, Cheng Hoe menyedari anak buahnya berdepan tugas sukar untuk mencuri satu mata memandangkan beraksi di kubu kuat JDT di Larkin.

"Perlawanan pertama pada musim baharu memang sukar bagi setiap pasukan untuk mencari rentak.

"Tetapi pemain (Kedah) menunjukkan corak permainan bagus dan ia merupakan permulaan yang baik buat pasukan," kata beliau selepas tamat perlawanan.

JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi jaringan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti.

Namun juara bertahan itu terpaksa bermain dengan 10 orang pada babak kedua apabila S. Kunalan dilayankan kad kuning kedua sebelum tamat separuh masa pertama.

Peluang tersebut dimanfaatkan oleh Helang Merah untuk menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan.

Hasilnya, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berjaya mengikat kedudukan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-63.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata bagi saingan Liga Super.

Pemilik Piala Sumbangsih bagi musim 2017 terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan ternyata Kedah lebih berpengalaman untuk melaksanakan tugas tersebut hasil inspirasi yang diperoleh ketika menewaskan Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2016.

Liridon Krasniqi menjadi wira Kedah apabila menyempurnakan sepakan kelima selepas pemain JDT, Brian Parreira gagal menyumbang gol buat pasukannya.

Sumber: mStar