Cuba "Tentang Mata" Dengan PM: Hanya 10 Mahasiswa Dan NGO?


KUALA LUMPUR – Cubaan sekumpulan mahasiswa dan individu dari badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin ‘bertentang’ mata dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya bakal menemui kegagalan.

Himpunan solidariti yang dianjurkan mereka kelihatan tidak mendapat sambutan apabila hanya 10 orang yang hadir di hadapan pintu masuk utama Universiti Malaya, di sini.

Pemerhatian rakan media di ibu negara yang hadir membuat liputan mendapati beberapa individu mula berkumpul sejak jam 8.30 malam semalam dan memasang lilin sebagai simbolik solidariti mereka termasuk memakai baju tshirt putih tertulis Tangkap MO1.

Ia menimbulkan persoalan di kalangan rakan media tentang apakah seramai itu sahaja yang mewakili suara seluruh mahasiswa di negara ini yang sebelum ini dikenal pasti terpengaruh dengan anasir negatif politik.

Beberapa individu yang juga mahasiswa ini turut memegang kertas yang tertulis Tangkap MO1 dan Selamatkan Malaysia serta nama mahasiswa yang ditahan dibawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Aktivis mahasiswa, Anis Syafiqah menjelaskan kehadiran mereka di UM bukan untuk membuat keadaan huru hara sebaliknya mahu bertentang mata dengan Perdana Menteri.

“Kami mahu tunjukkan solidariti bahawa yakin akan apa yg dilakukan oleh mahasiswa dan rakyat malaysia tidak bertentangan dan tidak menyalahi undang-undang.

“Hasrat kami untuk ingatkan PM bahawa universiti yang bakal beliau jejaki adalah tempat untuk mahasiswa bersuara,” katanya.

Sebelum ini, Anis menerusi akaun Facebooknya seolah-olah memerli Perdana Menteri yang datang ke Universiti Malaya untuk sesi dialog perdana mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Status tersebut mengingatkan Najib mengenai ramai mahasiswa UM yang dihukum kerana membawa aspirasi rakyat.

“Hari ini mahasiswa akan menyambut kehadiran serta mengingatkan beliau kembali tentang mangsa-mangsa AUKU yang dihukum di bawah kepimpinan beliau.

“TN50 tidak akan berjaya sekiranya dasar menghukum mahasiswa yang memberi idea pandang berbeza dengan aspirasi Kerajaan diteruskan,” tulisnya.

Anis menjelaskan seramai 13 mahasiswa ditahan dan mereka mahukan semua tahanan tersebut dibebaskan kerana tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah dan hanya menyuarakan hak.

Difahamkan, himpunan solidariti mereka akan diteruskan sehingga usaha bertemu PM berjaya. – Kedahnews.com