Dakwaan Hadi Tak Benar, DAP Jaga Islam Lebih Baik - Exco


GEORGETOWN - Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam di negeri ini adalah tidak berasas.

Exco Agama, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (PKR) berkata, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran dari BN pada 2008, syiar Islam terus berkembang jauh lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Menurutnya, kerajaan negeri pernah dikritik Gerakan apabila DAP menyalurkan bajet besar kepada hal ehwal agama.

“Kerajaan negeri menyediakan bajet hal ehwal agama mencecah 300 peratus melebihi bajet agama yang disediakan kerajaan negeri terdahulu yang ditadbir Gerakan, iaitu rakan politik Umno. Malah Gerakan mengecam pentadbiran kerajaan DAP kerana menyalurkan bajet agama yang besar berbanding zaman BN.

“Bajet agama ini, sehingga kini tidak berkurang daripada keperluan semasa. Perkembangan pendidikan Islam khususnya Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kafa, maahad tahfiz, sekolah pondok dan terus dibantu berdasarkan keupayaan kewangan negeri,” katanya melalui kenyataan medianya, semalam.

Abdul Malik berkata, selain bajet tahunan untuk hal ehwal agama, kerajaan negeri  turut menyediakan bajet khusus untuk institusi pendidikan Islam.

“Sehingga kini, lebih RM14 juta telah disalurkan untuk tujuan itu malah guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan Islam menerima bonus tahunan yang tidak pernah diterima sebelum ini. Bajet dan sumbangan itu, tidak termasuk pembinaan masjid, surau dan sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Program keagamaan dan majlis ilmu di masjid dan surau berkembang dengan baik. Pendakwah tidak disekat hanya kerana berbeza fahaman politik dengan kerajaan negeri. Amalan ini tidak pernah berlaku pada zaman BN, di mana ustaz-ustaz PAS dihalang mengajar dan mengadakan kuliah di masjid dan surau di Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Abdul Hadi itu turut disangkal dengan pembinaan Hospital Islam pertama di negeri ini yang dijangka siap tiga tahun lagi.

Abdul Malik berkata, selain hospital, Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang juga akan mula dibina pada pertengahan tahun ini.

“Sebelum ini, kerajaan negeri menganugerahkan sebidang tanah bernilai lebih RM80 juta bagi pembinaan Ibu Pejabat Mahkamah Syariah setinggi tujuh tingkat di Jalan Scotland. Ia sebahagian usaha untuk memartabatkan Melayu dan Islam di negeri ini.

“Kerajaan negeri juga memperkenalkan program Agenda Ekonomi Saksama. Keluarga yang berpendapatan di bawah RM750 sebulan, akan dibantu secara bulanan. Lebih 1,000 keluarga yang dikenalpasti, 90 peratus adalah Melayu dan beragama Islam. Oleh itu, dari sudut mana Abdul Hadi mengatakan kerajaan negeri tidak membela nasib Melayu dan Islam di negeri ini?” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi mendakwa DAP telah menunjukkan ‘belang sebenar’ kepada umat Islam di Pulau Pinang dan gagal menjaga kepentingan awam di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pelawaan menjalin hubungan semula antara DAP dan PAS dalam menghadapi PRU14.

Sumber: Sinar Harian