DAP Celaru, Hadapi Krisis "Hilang Maruah" - MCA Kedah


ALOR SETAR - Parti pembangkang di negara ini khususnya DAP kini disifatkan sedang menghadapi krisis "hilang maruah" dengan melanggar prinsip-prinsip berpolitik yang menyebabkan rakyat tidak lagi yakin kepada mereka.

Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, tindakan DAP sejak akhir-akhir ini menunjukkan mereka sedang celaru dan ia akan menyebabkan sokongan masyarakat Cina akan kembali ke pangkuan MCA.

"Dengan kecelaruan mereka antara satu sama lain dan kehilangan maruah yang paling asas untuk berpolitik. Saya yakin rakyat dapat menyedari, dapat membandingkan, dan seterusnya menilai untuk kembali ke pangkuan Barisan Nasional,

"Setiap manusia yang tidak berprinsip atau hilang prinsip, hingga langsung tidak sedikit pun memegang prinsip asas perjuangan untuk rakyat, maka mereka tidak lagi boleh dipercayai.," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Tegas Exco Kerajaan Negeri itu, parti-parti komponen BN yang ditunjangi UMNO tidak pernah tersasar dari memegang pada etika prinsip berpolitik

"Kita (BN) tak pernah lari dari prinsip kita, itu yang paling penting. Parti-parti komponen BN masih lagi berpegang pada prinsip kita.

"Kita sama-sama perjuangkan kepentingan rakyat, kita sama-sama berkongsi, persamaan dan perbezaan antara kita disatukan dalam satu kemuafakatan demi rakyat, negeri dan negara," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka MCA bersempena Tahun Baru Cina, di sini.

PAS hari ini turut mendakwa DAP dalam keadaan bercelaru ekoran Penasihatnya, Lim Kit Siang yang pada awalnya mempelawa PAS untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, namun mahu menyaman Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, setelah pelawaan itu ditolak.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kecelaruan DAP itu lebih terserlah apabila Kit Siang mahu mengambil tindakan saman terhadap Abdul Hadi yang sebelum itu mengaitkan DAP sebagai parti yang sememangnya anti-Islam.

"Saya tengok beliau (Lim Kit Siang) dalam keadaan yang bercelaru.Sebelum ini hulurkan tangan mengajak PAS bekerjasama, mungkin lepas kita tolak ajakan itu ia jadi seperti ‘cinta tidak berbalas’," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. -Kedahnews.com