SEREMBAN - MCA Negeri Sembilan menggesa DAP supaya berhenti daripada membuat komen berbaur fitnah mengenai pelaburan asing yang dibawa masuk oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Lim Chin Fui, berkata sebagai negara yang bersikap terbuka mengenai perdagangan asing, adalah penting bagi negara seperti Malaysia mengamalkan dasar terbuka mengenai perdagangan.
"Melalui perdagangan terbuka, ekonomi Malaysia akan berkembang dan maju dengan pesat. Sejak dulu hingga kini, Malaysia mengalu-alukan semua bentuk pelaburan, tidak kira sama ada dari China, Jepun atau Amerika Syarikat.
"Sebagai sebuah negara berorientasikan eksport, Malaysia amat bergantung pada perdagangan antarabangsa. Sejak sekian lama, dasar perdagangan Malaysia bertujuan mewujudkan persekitaran perdagangan global yang lebih bersifat terbuka dan saksama," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Lim, yang juga timbalan pengerusi Biro PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) MCA, berkata kerajaan akan terus giat berusaha untuk memajukan ekonomi Malaysia selagi kemajuan dan dasarnya memberi manfaat kepada negara.
"Sebagai sebuah parti politik dan anggota kerajaan persekutuan yang memerintah, MCA berperanan sebagai penghubung antara negara, membantu rakyat menyertai 'The Belt and Road Initiative' dan membantu perusahaan domestik untuk menjalankan perniagaan di luar pesisir," katanya.
MCA Belt and Road Centre (Mbrace), yang dilancarkan Disember tahun lepas, bertujuan membolehkan usahawan Malaysia dan China merebut peluang melalui pertukaran maklumat dan pemadanan perniagaan.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata pusat itu akan menjadi platform bagi membantu sektor swasta, terutama PKS, untuk menyertai dan meraih manfaat daripada The Belt and Road Initiative, yang dicadangkan Kerajaan China. - Bernama