DAP, PKR Jelas Bersalah Memecah-Belahkan Pakatan Rakyat Dulu - PAS


ALOR SETAR - Terkuburnya Pakatan Rakyat adalah berpunca dari kesalahan yang dilakukan DAP dan PKR, sebaliknya dua parti itu menjadikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai "kambing hitam" untuk menutup kesalahan mereka.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, DAP dan PKR telah melanggar prinsip konsensus di dalam Pakatan Rakyat dengan meneruskan sesuatu yang tidak mencapai kata sepakat di dalam gabungan tiga parti pembangkang ketika itu.

"Tapi malangnya mereka melanggar prinsip Konsensus tersebut. Mereka teruskan walaupun Konsensus tidak dicapai. Sikap tidak mematuhi perjanjian inilah sebenarnya yang membawa kepada perpecahan PR. Selamanya mereka akan melanggar perjanjian.

"Dap dan PKR lah yang jelas bersalah memecah-belahkan PR. Mereka menjadikan Presiden Pas sebagai alasan menutup kesalahan mereka," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu juga membidas DAP dan PKR yang dianggap tidak memahami konsep sebenar konsensus dan terkeliru mengenainya berbanding sistem majoriti yang mengakibatkan dua parti tersebut gopoh dalam melakukan tindakan.

"Konsensus ialah persetujuan sebulat suara. Semua pihak perlu bersetuju, tidak ada satu pun yang tidak bersetuju, barulah dinamakan keputusan secara Konsensus.

"Terbukti Dap dan PKR gopoh dan cuai dalam mengambil tindakan mereka sehingga terpaksa mengakui kesilapan dan memohon maaf," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu membidas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini mendakwa Abdul Hadi tidak patuh pada prinsip konsensus Pakatan Rakyat apabila tidak bersetuju dengan pendirian DAP dan PKR.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh beliau; - Kedahnews.com

Lim Kit Siang Tak Faham Prinsip Konsensus?

Oleh;
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Lim Kit Siang menimbulkan lagi fitnah terhadap Dato' Seri Presiden PAS kononnya tidak mengikut prinsip Konsensus kerana tak bersetuju dengan pendirian Dap dan PKR.

2. Bagi Lim Kit Siang dan yang sama waktu dengannya, tidak bersetuju dengan majoriti maka bererti tidak konsesus.

3. Dia keliru antara prinsip Majoriti dan prinsip Konsensus.

4. Konsensus ialah persetujuan sebulat suara. Semua pihak perlu bersetuju, tidak ada satu pun yang tidak bersetuju, barulah dinamakan keputusan secara Konsensus.

5. Majoriti ialah kaedah dimana keputusan yang dipersetujui majoriti ahli diterima pakai. Minoriti pula mesti patuh sebagai keputusan kolektif. Tak timbul soal ianya bukan keputusannya. Semua kena menerima.

6. Pakatan Rakyat memilih kaedah Konsensus, bukan kaedah Majoriti.

7. Maksudnya, hanya agenda yang dipersetujui secara Konsensus yang boleh dilaksanakan sebagai agenda PR.

8. Jika ada mana-mana ahli tiga parti dalam PR tidak bersetuju, walaupun semua yang lain bersetuju, maka ianya tidak Konsensus. Justeru, tidak boleh menjadi agenda bersama PR.

9. Konsensus tidak menghalang mana-mana pihak untuk berlainan pandangan. Konsensus juga tidak memaksa mana-mana pihak mesti bersetuju dengan pandangan majoriti.

10. Bila Presiden PAS menentang usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid di Selangor melalui tuduhan tanpa bukti, bukan bermakna beliau menentang prinsip PR. (*Menariknya, akhirnya mahkamah membuktikan tuduhan tersebut semuanya palsu dan fitnah*).

11. Bila PAS tidak bersetuju dengan satu nama sahaja sebagai calon MB oleh PKR dan Dap, itu juga bukan menentang Konsensus. Itu adalah hak ahli dalam prinsip Konsensus. Tidak ada paksaan untuk mengikuti keputusan majoriti. Akhirnya Dap dan PKR terpaksa memohon ampun kepada Sultan Selangor kerana mengengkari arahan Baginda untuk menghantar sekurang-kurangnya dua nama, bukan hanya satu nama.

12. Kedua-dua kes tersebut akhirnya membuktikan sikap Tuan Guru Presiden Pas adalah tepat. Akhirnya terbukti Dap dan PKR gopoh dan cuai dalam mengambil tindakan mereka sehingga terpaksa mengakui kesilapan dan memohon maaf.

13. Lim Kit Siang tak memahami perbezaan antara Konsensus dengan Majoriti, atau sengaja cuba menegakkan benang basah? Mencipta alasan karut, kerana marah beliau kepada Presiden Pas?

14. Lim Kit Siang juga sengaja memejam mata terhadap satu lagi prinsip PR iaitu Setuju Untuk Tidak Bersetuju yang dicanang oleh beliau dan Dato' Seri Anwar ke hulu ke hilir satu waktu dahulu.

15. Jelas, sudah terang lagi bersuluh, dalam PR, mana-mana parti daripada tiga parti tersebut boleh berbeza pandangan. Bila ada perbezaan pandangan, maka Konsensus tidak dicapai dan tidak boleh dijadikan agenda bersama PR.

16. Bila Konsensus tidak dicapai, sepatutnya Dap dan PKR tidak meneruskan agenda menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim. Seterusnya tidak juga mencalonkan hanya satu nama sebagai Menteri Besar Selangor.

17. Tapi malangnya mereka melanggar prinsip Konsensus tersebut. Mereka teruskan walaupun Konsensus tidak dicapai. Sikap tidak mematuhi perjanjian inilah sebenarnya yang membawa kepada perpecahan PR. Selamanya mereka akan melanggar perjanjian.

18. Dap dan PKR lah yang jelas bersalah memecah-belahkan PR. Mereka menjadikan Presiden Pas sebagai alasan menutup kesalahan mereka.

19. Sekarang, cerita lama tersebut diulang kembali. Dengan harapan orang ramai tidak cukup cerdik memahami permainan politik kotor mereka.

Sekian
Selasa 31hb Januari 2017