DAP Terus Perjuang Hak Sama Rata Agama, Kaum?


KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa sebilangan rakyat negara ini kononnya tidak mendapat hak yang sama disebabkan perbezaan etnik dan agama.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP mendakwa kononnya ramai pihak di negara ini mempersoalkan sama ada mereka yang berbeza agama dan etnik itu perlu patuh kepada pihak tertentu atau dikecualikan daripada arus perdana negara.

“Kita sentiasa dibahagikan mengikut kaum, agama dan latar belakang. Ada rakyat Malaysia diperlakukan supaya berasa rendah diri atau mungkin menikmati kekurangan hak yang sama.

“Hanya kerana berbeza etnik, agama, latar belakang atau makanan yang dimakan tidak menjadikan mereka kurang nilai Malaysia,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Guan Eng mendakwa seluruh rakyat Malaysia perlu bersatu menangani membebaskan diri daripada ketakutan untuk menegakkan kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan kebebasan yang mereka hajati.

Tohmahan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak berasas memandangkan hampir setiap kaum di negara ini sedang menjalani kehidupan yang baik termasuk dalam aspek kebebasaan untuk beragama.

Malah, dakwaan bermotifkan politik Guan Eng untuk memburuk-burukkan kerajaan itu tidak bersandarkan realiti iaitu pelbagai jawatan tertinggi dalam kerajaan mahupun swasta di Malaysia di sandang oleh pelbagai kaum.

Pegangan `kek’ ekonomi di Malaysia juga tidak tertumpu kepada kaum tertentu sahaja yang boleh dilihat berdasarkan pemilikan perniagaan dan pengaruh dalam sektor korporat. –Kedahnews.com