Dr Mahathir Diminta Jangan Kelirukan Rakyat, Semai Sikap Benci


KUANTAN – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan untuk tidak terus mengelirukan dan menyemai rasa benci rakyat terhadap kerajaan dalam usaha meraih sokongan.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah berkata rakyat pada masa kini bukan golongan yang tidak tahu menilai atau tidak mampu melihat apa yang cuba direncanakan Dr Mahathir.

“Semuanya hanya untuk kepentingan individu dan kuasa semata-mata. Apa yang keluar daripada mulut beliau sekarang hanyalah omongan bagi meraih sokongan dan menyemai rasa benci kerana beliau sedar sukar untuk mengganggu kerajaan.

“Beliau tahu dasar dan perancangan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah yang terbaik, walaupun ada keputusan yang dilakukan tidak bersifat populis,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Shahar mengulas tindakan Dr Mahathir membuat pusingan U apabila mengumumkan pembangkang sedia mempertimbangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedangkan sebelum ini menyifatkan bantuan itu sebagai rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Mohd Shahar menambah apa yang lebih menyedihkan ialah bagaimana penyokong Dr Mahathir sanggup ‘melacurkan’ prinsip perjuangan mereka hanya kerana sokongan membuta tuli tanpa membuat pertimbangan sebaik-baiknya.

Beliau juga bimbang dengan sesetengah pihak yang sudah ‘termakan dan dibasuh mindanya’ dengan fitnah, tohmahan dan kata-kata dusta pembangkang sedangkan kerajaan sentiasa cuba untuk tidak membebankan rakyat.

“Semasa Dr Mahathir mengatakan BR1M adalah rasuah, mereka menyokong dengan begitu hebat sekali sehingga mencaci kerajaan, tapi apabila beliau menyatakan akan meneruskan rasuah itu, mereka masih lagi menyokongnya,” katanya. – BERNAMA