Dr Mahathir Tak Wajar Persoal, Politikkan Ibadah Umat Islam


ALOR SETAR – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya mempersoalkan Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menyifatkan umat Islam yang terlibat dalam program itu tidak mendapat haji mabrur.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata melalui kenyataan itu, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu disifatkannya sebagai terdesak sehingga sanggup menggunakan agama dalam politik.

Katanya Dr Mahathir tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian, kerana hanya Allah SWT sahaja yang boleh menilai sesuatu amal ibadah itu sama ada boleh diterima atau tidak.

“Bukan tugas kita untuk menilai..manusia fokus pada ibadah saja..janganlah gunakan isu ini untuk kepentingan diri sendiri,” katanya selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Mergong di sini semalam.

Dr Mahathir membuat dakwaan itu sewaktu berceramah di Taman Wira Mergong di sini baru-baru ini. – BERNAMA