ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad tetap mempertahan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa kononnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah.
Meskipun menyedari tuduhannya itu menimbulkan kemarahan ramai khususnya penerima BR1M yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah , beliau berkata dakwaannya itu dibuat berdasarkan maklum balas diterima daripada orang kampung.
“Saya mempertahankan ia (BR1M) satu bentuk rasuah. Ia dijelaskan daripada komen oleh penerima BR1M di kampung.
“Mereka berkata: ‘Saya akan sokong Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana beliau beri saya wang. Mahathir tidak beri saya wang’,” katanya dalam tulisan di blognya, baru-baru ini.
Sebelum ini Mahathir dalam satu kenyataannya mendakwa BR1M adalah rasuah dari Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kepada rakyat kononnya supaya terus memberi undi kepada Barisan Nasional pada pilihan raya.
Namun kenyataan tersebut disangkal ramai pemimpin yang menyatakan pihak kerajaan tidak pernah mensyaratkan penerima BR1M untuk mengundi BN, malah bantuan kebajikan tersebut turut diterima oleh ahli parti pembangkang, termasuk PPBM.
Difahamkan ramai penerima BR1M yang marah dan tidak menyangka bekas Perdana Menteri itu tergamak menghina mereka sebagai 'penerima rasuah' serta memberi keluarga mereka makan dari sumber yang kononnya 'haram'.
Sementara itu, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataannya baru-baru ini turut menyangkal 'fatwa' Dr Mahathir dan menjelaskan bahawa BR1M merupakan bantuan kebajikan untuk rakyat bersumberkan hasil cukai yang dipungut kerajaan dari rakyat.
Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria pula menasihatkan supaya Dr Mahathir tidak menjatuhkan hukum sesuka hati ekoran latar belakangnya sebagai ahli politik, ilmu dan fahaman agamanya tidak melayakkan beliau menetapkan hukum-hakam agama. - Kedahnews.com