Dulu Penagih Dihalau Ibu, Tapi Kini Pemilik Firma Berjaya

Tengku Amir Shah bersama para peserta program "Hope & Prosperity" yang diadakan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina di klia2. -foto; BERNAMA
SEPANG - Bekas penghuni pusat pemuilihan, Michael Tan berusia 25 tahun ketika dia kehilangan tempat tinggal selepas dihalau ibunya.

"Ibu memberitahu saya bahawa tindakan saya mengambil dadah memalukan keluarga dan menghancurkan hatinya," kata Tan yang kemudian mula tidur di kaki lima dan mengemis untuk mendapatkan wang.

Namun pada satu hari, dia bertemu dengan sebuah keluarga yang memberinya buku, bukannya wang tunai.

"Ia adalah cerita tentang penagih seperti saya dan antara kandungannya bertulis: Tuhan boleh membuatkan anda rasa lebih tinggi berbanding dadah," kata Tan, 60, yang kemudian menjalani pemulihan di pusat jagaan Kristian dengan bantuan keluarga.

Ia membantunya untuk bebas daripada dadah, berdamai dengan ibu bapanya dan "berhadapan dengan dunia".

Hari ini bapa kepada dua cahaya mata itu memiliki sebuah syarikat penggubalan seni bina berjaya di Taiping, Perak.

Dia bebas daripada dadah sejak 35 tahun lalu.

Tan berkongsi ceritanya pada majlis Tahun Baru Cina anjuran Komuniti Pemuda Selangor (SAY) untuk membawa keceriaan perayaan kepada lebih 40 penghuni tiga pusat pemulihan dadah di negeri ini.

Sementara itu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyeru masyarakat supaya memberi peluang kedua kepada bekas penagih dadah di negara ini agar golongan itu boleh berjaya dan maju dalam bidang yang diceburi.

"Semua orang melakukan kesilapan. Kita tidak harus bermasam muka dengan mereka tetapi menyokong mereka agar menjadi individu yang lebih baik," titah baginda ketika menghadiri majlis berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini.

Sumber: mStar