Empat Anggota Polis Didakwa Ambil Rasuah


GEORGE TOWN - Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memperoleh rasuah daripada orang awam membabitkan nilai RM11,000.

Koperal Jeffry Abdullah, 36, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut didakwa telah secara rasuah memperoleh wang tunai  RM1,000 untuk dirinya daripada Noor Esmawati Baharom sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dengan menukar air kencing Norhamni Baharom, iaitu adik ipar Noor Esmawati, yang dikatakan positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing.

Jeffry didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Narkotik IPD, Timur Laut di sini pada 4.40 petang, 1 Mac 2015.

Sementara itu, tiga lagi anggota polis dari Balai Polis Datuk Keramat didakwa secara bersama cuba memperoleh rasuah RM10,000 daripada Norhamni sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan memiliki dadah jenis ganja di bawah Akta Dadah Berbahaya 1950.

Lans Koperal Mohd Zulkifly Mat Nor, 28; Lans Koperal Muhammad Farid Nordin, 28 dan Konstabel Zainoor Ariffin Rosli, 24 didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Datuk Keramat di sini pada 11.45 pagi, 1 Mac 2015.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut jumlah lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Muhamad Nazri menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh bagaimanapun peguam V.Parthiban memohon jaminan terhadap kesemua anak guamnya dikurangkan kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk menyara keluarga masing-masing termasuk Zainoor yang bakal mendirikan rumah tangga 10 hari lagi.

Hakim Roslan Hamid kemudian membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamian RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Feb depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - BERNAMA