PELAKON Janna Nick sememangnya dikenali dengan imejnya yang "sempoi" dan sedikit "tomboyish".
Malah aktres berusia 21 tahun itu juga jarang menggayakan persalinan seksi dalam mana-mana sesi penggambaran yang dilakukan sebelum ini.
Namun, baru-baru ini timbul isu bila mana Janna dikatakan menarik muka apabila diminta memakai dress seksi rekaan pereka fesyen terkenal yang tidak didedahkan identitinya.
Lantaran penolakannya itu, aktres kelahiran Kedah tersebut dicop seorang yang sombong dan berlagak diva.
Mengulas mengenai hal itu, Janna dipetik sebuah akhbar berkata, “Saya cakap jujur saya, baju yang dia sediakan tidak sesuai. Salah satu baju itu lebih kurang sama dengan baju yang saya pernah pakai ketika fotografi bersama media lain, risau orang kata saya ulang tayang baju sama pula.”
“Baju yang kedua pula sejenis gaun, ia sangat seksi tanpa tali, di paras peha saja. Bayangkan! Itu bukan imej saya. Takkan saya nak merosakkan imej sendiri dengan berpakaian seksi demi menjaga hati orang lain.
“Saya menarik muka itu tidak benar. Ketika dia tunjuk koleksi baju yang dibawanya, saya terus beritahu tidak mahu pakai. Saya cakap dengan nada yang baik, bukan tarik muka tau.
“Orang yang tidak tahu cerita sebenar akan beranggapan memang perangai saya macam itu dan akan kata itu memang perangai saya. Kalau boleh saya nak jumpa dengan dia semula. Bukan mencari gaduh tetapi saya mahu bincang, selesaikan perselisihan faham kami,” katanya.
Mungkin agaknya pereka itu tidak mengetahui prinsip Janna yang tidak mahu berpakaian seksi, dan harapnya perselisihan faham di antara Janna dan pereka itu dapat diselesaikan secepat mungkin. – Kedahnews.com