Faiz Dibenar FIFA Berbaju Melayu, Cakap Melayu 9 Jan Ini


PUTRAJAYA – Calon akhir Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri kini boleh senyum ceria apabila permintaan­nya untuk memakai sepersalinan baju Melayu tradisional akhirnya dibenarkan.

Ini bermakna pemain skuad Pulau Pinang itu bakal muncul di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan dengan berbaju Melayu setelah mendapat ‘kebenaran khas’ daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara berkenaan disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas pihaknya menghantar permohonan kepada FIFA untuk majlis berprestij tahunan tersebut.

“Kami sudah menghantar permohonan itu sejak awal Disember lalu dan akhirnya baru sahaja mendapat kelulusan daripada pihak ibu pejabat FIFA. Saya sudah memaklumkan kepada Mohd. Faiz mengenai berita baik ini.

“Terpulang kepada Mohd. Faiz sama ada dia mahu memakai baju Melayu atau mengenakan sut seperti yang diminta oleh pihak penganjur berhubung kod pemakaian rasmi,” kata Hamidin kepada sebuah akhbar tempatan.

Akhir Disember tahun lalu, pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu melahirkan perasaan sedikit kecewa setelah diberitahu bahawa pihak penganjur, FIFA tidak membenarkannya memakai baju Melayu pada majlis tersebut.

Dia bagaimanapun tetap akan membawa sepersalinan pakaian tersebut ke Zurich dan berusaha mendapatkan pertimba­ngan terakhir pihak FIFA ketika berada di sana bagi membolehkannya untuk menyarung baju Me­layu.

Busana tradisional bernilai RM3,000 itu dihadiahkan Institut Seni Malaysia Melaka sebagai tanda pengiktirafan kejayaannya. Pada kelaziman, calon atau pemenang anugerah FIFA akan hadir dengan mengenakan sut lengkap.

Pihak FAM turut menaja tiga tiket penerbangan kelas perniagaan ulang alik untuk isteri pemain berkenaan, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.

Mereka dijangka bertolak ke Switzerland terus dari Pulau Pinang pada Sabtu ini dengan juga ditemani oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah ke majlis anugerah bola sepak FIFA berkenaan.

Mohd. Faiz turut bercadang untuk berucap dalam bahasa Melayu seandainya dia diberi peluang berucap di atas pentas. Pada kebiasaan, bercakap dalam bahasa ibunda untuk majlis berkenaan adalah satu perkara biasa.

Penyerang Argentina, Lionel Messi bertutur bahasa Sepanyol ketika berucap selepas diumum sebagai pemenang Ballon d’Or 2015, manakala pemenang Puskas 2015, Wendell Lira dari Brazil juga bertutur dalam bahasa ibunda.

Bagi Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz muncul pemain tunggal Asia bers­aing dua lagi calon peringkat akhir iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan satu-satunya wakil wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Faiz bakal menerima ‘durian runtuh’ apabila pihak kerajaan Kedah bersedia memberikan imbuhan menarik atas kejayaan pemain berusia 29 itu melakar sejarah arena bola sepak negara.

“Pihak kerajaan negeri sepatutnya memberi imbuhan kepada Mohd. Faiz hari ini (Rabu) dalam majlis yang diadakan di Sik, Kedah tetapi pada saat akhir, dia meminta pe­nangguhan waktu kerana kebetulan ada urusan peribadi.

“Jadi, imbuhan di­sampaikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah selepas balik dijangka 12 Januari,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Aminuddin Omar. – Agensi