KUALA LUMPUR – Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri membuktikan sepakan percumanya memang berbisa apabila sekali lagi menghasilkan cubaan ‘melanggar hukum fizik’ ketika perlawanan Liga Super, baru-baru ini.
Masih segar dengan memori manis menggondol anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan di Zurich, Switzerland awal bulan ini, Faiz melakukan sepakan seakan sama dengan gol yang menobatkannya anugerah berprestij itu ketika aksi Pulau Pinang bertemu Perak di Stadium Negeri, Batu Kawan.
Berpunca daripada sepakan percuma, rembatan Faiz sekali lagi melencong dan mengelirukan penjaga gol Perak, Muhamad Hafizul Hakim yang terpaksa melayangkan badan untuk menyelamatkan cubaan terbabit.
Sepakan Faiz itu pantas menjadi tular di laman sosial dengan ramai yang menganggap sekiranya sepakan itu berjaya menerjah gawang, ia mampu untuk disenarai bagi anugerah itu pada tahun ini.
Begitupun, Pulau Pinang tewas pada perlawanan itu dengan keputusan 1-0 dan ia adalah kekalahan kedua skuad bimbingan Ashley Westwood pada musim ini.
Faiz sebelum ini dinobat pemenang Anugerah Puskas menerusi sepakan ajaibnya dilakukan ketika menentang Pahang dalam aksi Liga Super, 16 Februari tahun lalu.
Pemain berusia 29 tahun itu muncul warga Asia pertama memenangi anugerah terbabit yang lazimnya di dominasi pemain ternama dunia antaranya Cristiano Ronaldo dan Zlatan Ibrahimovic.
Sumber: Berita Harian