Futsal AFF 2016: Malaysia Tempat Ke-3 Lepas Belasah Timor Leste, 8 -1


BANGKOK – Malaysia mengakhiri saingan Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2016 di tempat ketiga selepas membelasah Timor Leste 8-1 di Stadium Tertutup Huamark di sini, semalam.

Pada perlawanan penentuan tempat, Timor Leste memberi kejutan seawal minit pertama menerusi jaringan Jose Lopes Vide.

Tersentak dengan jaringan awal itu, pasukan bimbingan ketua jurulatih Chiew Chun Yong, memperkemaskan permainan dan berjaya memperolehi gol penyamaan empat minit kemudian menerusi Muhammad Azri Rahman.

Menerusi gerakan menarik daripada bahagian pertahanan, skuad Harimau Malaya berjaya mendapatkan jaringan kedua menerusi Abu Haniffa Hassan kira-kira tiga minit lagi sebelum tamat separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, Malaysia memperhebatkan serangan terhadap kubu pertahanan pasukan lawan dan memperolehi gol ketiga negara seminit selepas permainan disambung semula menerusi Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin.

Skuad negara meneruskan rentak serangannya dan memperolehi gol keempat yang dijaringkan oleh Mohd Ridzwan Bakri pada minit ke-28 dan gol kelima oleh pemain tinggi lampai, Mohammad Awaluddin Mat Nawi, seminit kemudian.

Pasukan negara terus menambah jaringan pada minit-minit ke-35 dan 36 untuk mendahului Timor Leste 7-1, apabila pemain-pemain pasukan lawan mulai letih dan mudah kehilangan kawalan bola.

Hanya beberapa saat sebelum permainan penentuan tempat ketiga itu tamat, negara memperolehi gol terakhirnya menerusi Mohd Azwan Ismail.

Final akan menemukan pasukan tuan rumah, Thailand dengan Myanmar.

Kejohanan Futsal AFF 2016 sepatutnya berlangsung Disember lepas, tetapi ditangguhkan sebagai menghormati kemangkatan Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej. – BERNAMA