Gadis Jadi Popular Kerana Makan Mi Dalam Mangkuk Tandas


WASHINGTON – Seorang remaja perempuan di sini menjadi popular di laman sosial selepas memuat naik gambar rakannya seperti memakan mi segera di dalam mangkuk tandas.

Taylor O’Dore, 18, merakam gambar rakannya, Hannah Hepler, 19, duduk di sebelah mangkuk tandas yang penuh dengan mi segera sambil memegang garpu seperti memakan mi berkenaan.

Dia kemudian memuat naik gambar itu di laman Twitter dengan keterangan gambar: “Apabila tiba giliran membasuh pinggan dan semua mangkuk di rumah kotor kecuali ini.”

Taylor berkata, dia membuang lebihan mi segera yang dimakan beberapa rakannya di dalam mangkuk tandas sebelum terfikir mengenai sesuatu yang lucu.

“Hannah mengambil garpu dan menceduk mi di dalam mangkuk tandas sebelum berpura-pura seperti memakan mi berkenaan.

“Saya merakam beberapa gambar melalui telefon bimbit dan memuat naik imej itu di laman Twitter,” katanya.

Menurutnya, selepas beberapa hari dia terkejut apabila mendapati gambar itu tular di media sosial dan dikongsi beribu-ribu kali.

“Semua beranggapan gambar itu sangat menjijikkan malah ibu bapa kami juga berpendapat ia sangat pelik.

“Kami sangat teruja dan tidak sangka gambar itu membuatkan kami popular,” jelasnya.

Menurutnya, gambar itu mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial, ada yang beranggapan gambar itu tidak lucu sehinggalah mengeluarkan ancaman bunuh.

“Bagaimanapun, kami gembira melihat reaksi dan membaca komen gila pengguna yang lain kerana ia membuatkan kami terhibur,” katanya. – Agensi