Beberapa gambar memaparkan seorang pramugari mengendong seorang nenek tua yang dipercayai penumpang pesawat Garuda Indonesia penerbangan GA821 dari Kuala Lumpur ke Jakarta menjadi tular di media sosial.
Memetik laporan Liputan 6, pramugari yang dikenali sebagai Vera itu menjadi buah mulut netizen kerana dia sanggup berkaki ayam sambil menggendong warga emas yang menghadapi kesukaran untuk berjalan.
Naib Presiden Komunikasi Korporat Garuda Indonesia, Benny Sigar Butarbutar mengesahkan kejadian berlaku di dalam pesawatnya dan pramugari yang terlibat adalah Vera.
“Jujur, itulah sifat yang tertanam di hati semua pramugari Garuda Indonesia, sebagai satu standard layanan terhadap penumpang.
“Begitu juga pramugari muda yang bertugas dalam penerbangan GA821 Kuala Lumpur-Jakarta,” kata Benny.
Sementara itu, portal Tribunnews pula melaporkan dengan lebih terperinci tentang kejadian itu.
Difahamkan, ketika penumpang semua sudah keluar, warga emas itu masih terduduk di kerusi 41C dengan ditemani salah seorang anggota keluarganya.
Tanpa menunggu lama, Vera datang mendekati seterusnya mengetahui penumpang itu memerlukan kerusi roda.
Ketika bercakap sementara menunggu kerusi roda, Vera mengetahui nenek terbabit merupakan anggota rombongan umrah yang perlu mengejar penerbangan seterusnya.
“Setelah menunggu beberapa waktu lamanya, kerusi roda belum datang juga, maka Flight Service Manager (FSM) Ninik Septinawati dan pramugari Vera segera menawarkan bantuan untuk membantu penumpang keluar pesawat,” kata Benny.
Vera kemudian menggendong nenek tersebut di belakang untuk keluar dari pesawat sebelum bantuan kerusi roda tiba.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kewarganegaraan nenek terbabit. –Kedahnews.com