Getirnya Perjuangan Sebagai Wartawan Di Bumi Palestin


BERTUGAS di bawah ancaman serangan Israel dan kemungkinan disumbat ke dalam penjara adalah sebahagian daripada rutin harian bagi seorang wartawan di Palestin.

Yaser Abu Heen
Mengimbas kembali pergolakan di Jerusalem pada 2014, Ketua Pengarang Palestinian Press Agency (SAFA), Yaser Abu Heen, berkata lebih 17 wartawan terbunuh dan 24 institusi media dimusnahkan oleh pihak Israel ketika itu.

Kini, terdapat lebih 19 wartawan ditahan di penjara Israel manakala beberapa lagi "menghampiri saat kematian," katanya kepada Bernama, semasa lawatan ke ibu pejabat agensi berita ini di sini, baru-baru ini.

Bekas Ketua Kesatuan Wartawan Gaza, yang pernah dipenjarakan pada 2004 selama satu setengah tahun itu, menyifatkan pengalamannya sebagai "penyeksaan fizikal dan psikologi" oleh tentera Israel. Serangan pada tahun itu juga menyebabkan tiga saudara lelakinya terbunuh selain rumah mereka musnah.

"Ketika itu, saya benar-benar melalui masa yang sukar. Pada 2014, rumah saya menjadi sasaran sekali lagi. Bapa saya terbunuh. Sepupu saya yang juga seorang wartawan turut terkorban," katanya.

Bagaimanapun, tiada apa mahupun kesemua kejadian itu dapat menghalang Yaserm yang menjadi wartawan pada 1999, kerana beliau percaya bahawa kerjayanya itu adalah platform yang baik untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di bawah cengkaman Israel walaupun terdapat kawalan ketat terhadap media di wilayah berkenaan.

KERJAYA SANGAT PENTING

Pengurus Besar Al-Resalah Media Institution, Wesam Ibrahim Afifa memang sedia maklum dengan cerita-cerita Yaser itu.

Malah beliau juga dipenjarakan dari 1992 hingga 1993.

"Saya menjadi wartawan selepas menamatkan pengajian di Islamic University Gaza pada 1997, tetapi saya mula menulis ketika berada dalam tahanan Israel," katanya.


Beliau menyifatkan pengalamannya selama lebih 20 tahun dalam bidang itu sebagai "tidak mudah namun adalah pekerjaan yang sangat penting". Masakan tidak, pejabat Wesam telah dibom sebanyak dua kali pada 2001 dan 2012.

Pengalaman terburuk beliau adalah ketika seorang rakan wartawannya terkorban dalam kejadian pengeboman pada 2012.    

"Namun demikian, profesion ini tetap penting kerana ia sebahagian daripada perjuangan rakyat Palestin dan ia membantu untuk menyampaikan suara kami kepada dunia," kata Wesam.

SUMBER YANG TERHAD

Selain pelbagai bentuk bahaya, para wartawan Palestin juga perlu berdepan dengan masalah sumber yang terhad termasuk elektrik dan akses internet.

"Bekalan elektrik hanya ada untuk empat jam sehari. Jadi, kami mesti menulis, menerbitkan dan mencetak berita dalam tempoh masa yang terhad. Halangan lain termasuklah kemungkinan mesin cetak kami dirampas atau dimusnahkan oleh tentera Israel. 

"Kami juga menghadapi isu internet kerana perkhidmatan yang tidak meliputi seluruh bahagian Palestin," kata beliau sambil menambah kata bahawa kemudahan internet yang ada hanyalah perkhidmatan 2G yang perlahan, tidak menentu dan kurang selamat.

"Wartawan di Palestin sukar menjangkakan nasib yang menanti setiap hari.


Memandangkan mereka tidak selamat untuk berada di pejabat kerana ia adalah sasaran yang mudah, wartawan memilih untuk sentiasa bergerak dan atas sebab itulah kemudahan internet amat penting di mana juga mereka berada," kata Wesam.

KUASA MEDIA SOSIAL

Meskipun tertindas di bawah penaklukan Israel, Yaser dan Wesam berikrar untuk terus melaporkan kisah-kisah sebenar penderitaan dan kejayaan rakyat Palestin kepada dunia. Di situlah pentingnya peranan kuasa media sosial.

Pengurus Besar akhbar Felesteen, Iyad Ebrahim Al-Qarra menegaskan bahawa media sosial adalah platform yang sangat penting dalam membantu menyebarkan cerita kepada dunia sekali gus mewujudkan kesedaran mengenai isu-isu berkaitan.


Ketiga-tiga organisasi media itu mempunyai jumlah pengikut yang ramai dalam media sosial. Contohnya, halaman Facebook Felesteen mempunyai lebih dua juta pengikut manakala SAFA mempunyai lebih satu juta pengikut Facebook.

Selain itu, lawatan ke negara atau organisasi media lain seperti Bernama adalah sebahagian daripada usaha untuk menyampaikan "cerita-cerita Palestin dari mata rakyat Palestin," terutamanya kerana peluang untuk keluar dari Gaza amat jarang sekali boleh berlaku.

Dalam kata-kata penutup, ketiga-tiga wartawan bukan sahaja memberi penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berterusan kepada perjuangan rakyat Palestin, malah menyambut baik wartawan Malaysia agar berkunjung ke Palestin untuk merasakan sendiri pengalaman dan melaporkan pelbagai kejadian di negara mereka. - Bernama