Abd Hadi dapat membaca sepakan penalti yang dilakukan oleh Brian Ferreira |
ALOR SETAR - Kejayaan Abd Hadi Abd Hamid menepis sepakan penalti keempat menerusi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Brian Ferreira menjadi faktor kepada kejayaan Kedah menjulang Piala Sumbangsih 2017 di Stadium Larkin selepas menang dengan keputusan sepakan penalti 5-4, baru-baru ini.
Piala tersebut berjaya dibawa pulang ke negeri jelapang padi selepas kali terakhir Hijau Kuning melakukannya pada tahun 1991 dan 1994.
Penjaga gol berusia 30 tahun itu bagaikan menebus kembali kegagalannya menepis sepakan penalti yang disempurnakan oleh ketua pasukan JDT, Safiq Rahim pada minit ke-40.
Jelasnya, kajian yang dilakukan bersama pasukan sebelum ini dengan menonton beberapa video perlawanan lawan memberikan sedikit gambaran tentang kekuatan Harimau Selatan dan pemain-pemain yang perlu diberikan perhatian telah membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, kejayaan ini telah melengkapkan senarai trofi yang telah dimenangi oleh saya bersama Kedah sejak 11 tahun bersama pasukan ini iaitu 2 kali Liga Super (2007, 2008), dua kali Piala FA (2007, 2008), tiga kali Piala Malaysia (2007, 2008, 2016) ,satu kali Liga Perdana (2015) dan satu kali Piala Sumbangsih (2017).
Trofi pertama tahun 2017 telah merangsang diri saya untuk berusaha lebih gigih di dalam memburu lebih lagi kejuaraan pada musim ini dan sudah tentu akan wujud persaingan sihat dengan dua penjaga gol lagi iaitu Ifwat Akmal dan Farhan Abu Bakar,” katanya.
Abd Hadi yang telah bersama Hijau Kuning sejak tahun 2006 membalas kepercayaan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe dengan memberikan aksi sebaik mungkin selepas kedudukannya tergugat dengan kehadiran Ifwat.
Menurutnya, musim ini menjadi tahun buatnya kembali memulihkan keyakinan selepas dihimpit kecederaan sebelum ini.
Sumber: Sinar Harian