Hasrat Hidupkan Semula Pekan Rabu Di Sungai Petani

Arked Niaga Pekan Rabu.
SUNGAI PETANI - Arked Niaga Pekan Rabu yang dibina pada 2004 untuk keselesaan peniaga dan pengunjung setempat, dilihat gagal beroperasi dengan baik  walaupun terletak di lokasi strategik serta berhampiran peniagaan kaum lain.

Difahamkan, bangunan empat tingkat mempunyai kapasiti 53 unit kedai itu tidak mendapat sambutan baik berikutan kurang daya tarikan untuk pengunjung singgah mendapatkan pelbagai barangan dan perkhidmatan seperti mana terdapat di Pekan Rabu Alor Setar.

Akibat kekurangan pengunjung, peniaga terpaksa berpindah ke tempat lain menyebabkan bangunan itu terbiar hingga menjadi sarang dadah, tempat berteduh pendatang asing dan mangsa vandalisme.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) berhasrat menghidupkan semula Pekan Rabu Sungai Petani bagi menggalakkan lebih ramai usahawan menjalankan perniagaan di situ selepas terbiar sekian lama.

Antara langkah awal, MPSPK menjalin kerjasama erat dengan beberapa peniaga untuk mempromosikan Pekan Rabu Sungai Petani dengan pelbagai aktiviti yang boleh menarik orang ramai.

Bakal buat pembaharuan


Yang Dipertuanya, Abd Rashid Othman berkata, beliau berhasrat untuk menghidupkan semula Pekan Rabu Sungai Petani sebagaimana Pekan Rabu Alor Setar yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk tempatan mahupun luar.

Sehubungan itu katanya, MPSPK akan mengadakan perbincangan dengan persatuan peniaga kecil dan koperasi di Kuala Muda bagi menggalakkan lebih ramai bumiputera menyewa unit kedai dengan bayaran serendah RM200 sebulan.

“MPSPK turut menjalin kerjasama dengan syarikat rangkaian produk kosmetik, salun kecantikan dan spa untuk sama-sama mempromosikan Pekan Rabu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Pekan Baru Sungai Petani Bersama Nuriz Group of Companies, Sabtu lalu.

Menurut Abd Rashid, pihaknya juga dalam rancangan untuk mengetatkan syarat perjanjian sewaan kedai, antaranya dengan mendenda peniaga yang menutup kedai tanpa alasan munasabah seperti dilaksanakan pengurusan pasar raya.

“Sikap sesetengah peniaga yang tidak berdisiplin antara penyumbang utama kegagalan Pekan Rabu Sungai Petani. Kita tidak mahu lagi menyewakan unit kedai kepada peniaga yang tidak bersungguh-sungguh menjalankan perniagaan.

“Saya harap denda kepada kedai yang tidak beroperasi membantu mengatasi masalah ini,” katanya.

Tambah Abd Rashid, usahawan yang berminat untuk menyewa kedai di Pekan Rabu Sungai Petani boleh menghubungi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Menara MPSPK di talian 04-4296666.

“Saya harap anak muda khusus yang mempunyai produk sendiri, dapat memanfaatkan peluang ini untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih besar. Lagipun Arked Niaga Pekan Rabu didirikan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu dan Kompleks Pusat Transformasi Bandar, selain dikelilingi perniagaan kaum lain lengkap dengan kemudahan parkir.

“Bagi menarik pengunjung, MPSPK akan bersama peniaga sedia ada mengadakan pelbagai aktiviti, karnival dan pertandingan untuk menceriakan lagi suasana Pekan Rabu,” katanya.

Berani ambil risiko
Sementara itu, walaupun Arked Niaga Pekan Rabu tidak lagi menjadi pilihan peniaga, namun Pengarah Urusan Nuriz Group of Companies, Datuk Zainuri Mohd Zain mengambil langkah berani apabila menyewa beberapa unit kedai di tingkat satu bangunan itu untuk memasarkan produk kecantikannya.

Zainuri berkata, langkah berani untuk menyewa dan membaiki sendiri kerosakan kedai di situ sebagai suntikan semangat kepada usahawan lain terutama peniaga kecil untuk menggunakan peluang disediakan kerajaan kepada bumiputera.

“Walaupun ramai tidak mahu berniaga lagi, saya berani ambil risiko untuk membuktikan Pekan Rabu adalah lokasi paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan dikelilingi perniagaan kaum lain.

“Saya yakin Pekan Rabu dapat himpun peniaga khususnya dari Kuala Muda dan daerah berhampiran, selain menjadi mercu tanda bandar Sungai Petani pada masa akan datang. Saya juga harap usahawan dan peniaga kecil-kecilan mengikut jejak saya bagi menghidupkan semula Pekan Rabu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian