Ibadah Umrah Kanak-Kanak OKU Tular Menyentuh Jiwa Netizen


AKSI seorang kanak-kanak cacat anggota menunaikan ibadah di tanah suci Makkah, bukan sahaja menyentuh hati netizen yang menontonnya, tetapi juga tokoh agama terkemuka di Masjidil Haram.

Video berdurasi seminit 57 saat yang tersebar dalam laman sosial sejak beberapa hari lepas turut menunjukkan aksi mulia Imam Masjidil Haram, Sheikh Maahir al-Muaqily yang sanggup berhenti bagi memberi laluan kepada kanak-kanak istimewa itu menunaikan solat.

Lebih mengharukan, Sheikh Maahir terus memeluk kanak-kanak terbabit sebaik sahaja insan istimewa itu selesai menunaikan solat.

Video tersebut dimuat naik oleh pengguna Twitter, @AbooMuslim semalam dan mula menjadi perhatian umat Islam di seluruh dunia.

"Imam Masjid al-Haram tunggu kanak-kanak ini selesai menunaikan solat supaya dia dapat memeluknya. Pada mulanya saya tidak sedar, tetapi selepas itu..." tulis AbooMuslim.

Insan istimewa bernama Ghanim Mohammed al Muftahitu hanya mempunyai anggota dari kepala ke pinggang sahaja.

Selain video terbabit, satu lagi rakaman turut dimuat naik yang memaparkan bagaimana polis membantu mengosongkan laluan untuk kanak-kanak yang bergerak menggunakan tangan itu.


Sumber: mStar